Khamis, 7 Jun 2018 | 8:24pm
NAZIM AZMAN
NAZIM AZMAN

Nazim, Muizz calon pilihan anugerah F4 SEA

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Nazim Azman dan Muizz Musyafa dijangka menjadi calon pilihan meraih beberapa anugerah pada malam Anugerah Gala MERITUS yang dianjurkan oleh Petron di Pusat Penyiaran All-Asia ASTRO malam esok.

Bagaimanapun mereka bakal bersaing dengan pelumba dari China Daniel Cao, Kane Shepherd (Thailand) selain bintang muda dari Belgium, Ugo de Wilde.

Anugerah itu dianjurkan bagi mengiktiraf pelumba terbaik yang beraksi di Kejohanan Formula 4 Asia Tenggara FIA (F4 SEA) tajaan PETRON dengan prestasi pelumba akan dinilai selepas tamatnya musim F4 SEA 2017 yang berlangsung di Sepang, Thailand dan Filipina.

Nama Nazim, 17, menjadi calon pilihan meraih trofi utama selepas memenangi beberapa perlumbaan pembukaan F4 SEA yang dianjurkan sebagai acara sokongan pada perlumbaan Grnad Prix F1 pada Oktober tahun lalu.

Selain itu pelumba muda negara berbakat besar, Muizz, 16, turut menjadi sebutan apabila berjaya menaiki menaiki podium sebanyak dua kali tahun lalu.

"Tentunya saya amat teruja memulakan musim baru dan buat masa ini, saya sedang menggandakan usaha dan latihan untuk memenuhi sasaran menduduki tiga tempat teratas pada musim akan datang ini," kata Muizz.

Sementara itu  Ketua Pegawai Eksekutif Asian Autosport Action (AAA) merangkap Promoter F4 SEA, Peter Thompson berkata, sebanyak lapan kategori anugerah dipertandingkan termasuk Juara Keseluruhan, Rookie Terbaik, Pemanduan Terbaik, Lap Terpantas, Best Recovery, Bakat Harapan (Up and Coming Talent), Jurutera Terbaik dan Mekanik Terbaik.

"Pelumba muda ini wajar diiktiraf kerana mereka memberikan seluruh tenaga dan menjadikan saingan musim lalu sesuatu yang hebat.

"Segala ini dapat dilihat menerusi kualiti perlumbaan yang tinggi. Jadi, anugerah ini amat tepat bagi merangsang mereka mencapai kejayaan lebih baik dalam usaha menjadi pelumba berkelas dunia," katanya

Sementara itu nama Cao, 16, dicanang untuk membawa gelaran juara keseluruhan sekali gus memahat nama sebagai pelumba pertama dari China menjulang gelaran perlumbaan F4 FIA.

Untuk rekod pemandu Indonesia Presley Martono dari Indonesia muncul sebagai pemenang sulung Anugerah Gala MERITUS pada tahun lalu.

 

SENARAI ANUGERAH

1. Juara Keseluruhan

2. Rookie Terbaik

3. Lap Terpantas (Sirkit Sepang, Buriram, Clark)

4. Pemanduan Terbaik

5. Best Recovery

6. Bakat Harapan

7. Jurutera Terbaik

8. Mekanik Terbaik

Berita Harian X