Isnin, 21 Mei 2018 | 5:43pm
PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah meraih empat mata selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-12 di Le Mans. - Foto Monster Yamaha Tech3
PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi meraih mata sulung musim ini selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15. - Foto Honda Team Asia

Isyarat positif Hafizh Syahrin, Khairul Idham

KUALA LUMPUR: Grand Prix (GP) Motosikal Perancis semalam menyaksikan isyarat kembalinya semula Hafizh Syahrin Abdullah serta permulaan baik untuk bekas bintang Moto3 negara, Khairul Idham Pawi.

Hafizh kembali ke landasan tepat untuk muncul pelumba baharu terbaik MotoGP apabila meraih empat mata selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-12 di Le Mans.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu kini menduduki tempat ke-17 keseluruhan saingan MotoGP dengan mengumpul 13 mata sekali gus menjadi pelumba baharu kedua terbaik selepas Franco Morbidelli dari Itali yang meraih 16 mata. 

Prinsipal Pasukan Tech3, Herve Poncharal berkata, beliau cukup teruja dengan prestasi yang dipamerkan Hafizh. 

"Kami sangat gembira dengan Hafizh yang kembali kepada prestasi sebenar untuk muncul pelumba baharu terbaik. Malangnya, dia kehilangan banyak masa selepas bersaing dengan Morbidelli. 

"Jika tidak, saya rasa dia mampu menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik. Tapi tempat ke-12 dengan mengumpul empat mata sudah terbaik," katanya. 

"Kami akan mengadakan siri ujian di Barcelona untuk beberapa hari yang membolehkannya memahami lebih lagi mengenai jentera MotoGP. Apapun, kami gembira dengan apa yang dilakukan oleh Hafizh," katanya lagi. 

Dalam saingan Moto2, Khairul Idham Pawi meraih mata sulung musim ini selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15. 

Pelumba Idemitsu Honda Team Asia pernah menggegar dunia selepas memenangi perlumbaan Moto3 sebanyak dua kali pada 2016 sebelum berdepan detik sukar di Moto2. 

Dia bagaimanapun mempamerkan peningkatan sejak saingan di Jerez, awal bulan ini apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-18 dan diharap mampu mengekalkan prestasi konsisten itu pada GP Itali bulan depan.

Berita Harian X