Ahad, 6 Mei 2018 | 11:06pm
PELUMBA beraksi di Grand Prix (GP) Sepanyol. - Foto EPA
PELUMBA beraksi di Grand Prix (GP) Sepanyol. - Foto EPA

Hafizh akui kesakitan menghantuinya

KUALA LUMPUR: Pusingan keempat musim 2018 di Grand Prix (GP) Sepanyol menyaksikan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sekali lagi tidak dapat menambah sebarang kutipan mata apabila menduduki tangga ke-16 di litar Jerez, sebentar tadi.

Hafizh menamatkan 25 pusingan perlumbaan dengan catatan 42 minit 21.539 saat tatkala tumpuan terarah kepada kemalangan membabitkan dua pelumba Ducati, Jorge Lorenzo, Andrea Dovizioso dan Repsol Honda, Dani Pedrosa di pusingan ke-17 saingan itu.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu masih belum pulih daripada kecederaan dialaminya ketika menjalani latihan berbasikal minggu lalu dan setakat empat pusingan ketika ini, Hafizh sudah mengumpul sembilan mata keseluruhan.

Hafizh meraih dua mata di GP Qatar dan tujuh mata di Argentina sebelum terjatuh di Amerika Syarikat, dua minggu lalu.

"Saya sudah melengkapkan perlumbaan keempat di Jerez tetapi saya bergelut dengan keadaan fizikal kerana sejak Jumaat saya mengalami kesakitan dan hari ini ia lebih teruk berbanding semalam," kata Hafizh.

"Jadi, saya bersaing sengit di pertengahan perlumbaan, saya tidak mempunyai tenaga lagi untuk menunggang motosikal, mungkin kerana kecederaan dialami. Mungkin saya terlalu banyak menggunakan tenaga di awal saingan.

"Apapun, saya gembira bersama pasukan kerana mereka melakukan tugas dengan amat hebat. Saya juga memohon maaf kepada mereka tetapi sasaran kami adalah untuk menamatkan perlumbaan dan belajar sebanyak mungkin dan kami sudah melakukannya.

"Kami juga sangat hampir dengan penamat yang menjanjikan mata. Saya perlu pulih dengan pantas dan cuba melakukan perlumbaan yang lebih baik di laman pasukan di Grand Prix Le Mans nanti."

Sementara itu dalam kelas Moto2, pelumba negara yang mewakili IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi menemui penamat terbaiknya setakat empat pusingan musim 2018 ini apabila berada di tangga ke-18 di Jerez.

Khairul Idham Pawi melengkapkan 23 pusingan perlumbaan dengan catatan 40 minit 07.723 saat tatkala seorang lagi wakil negara, Zulfahmi Khairuddin (SIC Racing) terjatuh pada pusingan kesembilan saingan sekali gus gagal menamatkan perlumbaan.

Dalam kelas Moto3, Adam Norrodin hampir meraih satu mata berharga di Jerez namun persaingan sengit meletakkannya untuk hanya berpuas hati di tangga ke-16. Rakan sepasukannya di PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki meraih penamat ke-12 untuk membawa pulang empat mata.

"Persaingan yang sengit dan saya sudah tidak dapat lagi mengejar (kelompok depan) dan ia sudah terlewat," kata Adam. "Saya dapati ada beberapa pelumba yang terjatuh di depan dan saya rasakan ia satu peluang untuk mencari mata.

"Di pusingan terakhir perlumbaan dan sebelum selekoh akhir, saya mendahului kelompok disertai tetapi saya tidak cukup baik di selekoh akhir dan kami terlepas kutipan mata untuk minggu ini."

Pusingan kelima musim 2018 dijadual berlangsung di Le Mans, Perancis pada 20 Mei ini.

 

Berita Harian X