Ahad, 6 Mei 2018 | 10:04pm
PELUMBA Repsol Honda, Marc Marquez menjuarai perlumbaan GP Sepanyol di litar Jerez, hari ini. - Foto EPA
PELUMBA Repsol Honda, Marc Marquez menjuarai perlumbaan GP Sepanyol di litar Jerez, hari ini. - Foto EPA

Marquez takluk Jerez

JEREZ, Sepanyol: Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez gah menjuarai perlumbaan MotoGP di gelanggang sendiri Grand Prix (GP) Sepanyol di litar Jerez, hari ini sekali gus mengambil alih kedudukan peneraju keseluruhan.

Begitupun, perlumbaan dibayangi dengan insiden membabitkan tiga pelumba, Andrea Dovizioso, Jorge Lorenzo dari Ducati dan rakan sepasukan Marquez, Dani Pedrosa yang ketika itu sedang memburu baki kedudukan podium.

Ketika perlumbaan berbaki lapan pusingan, Lorenzo yang berada di kedudukan ketiga melanggar Pedrosa ketika mengambil selekoh sebelum turut mengheret Dovizioso menyaksikan ketiga-tiganya tidak dapat meneruskan saingan.

INSIDEN membabitkan pelumba Ducati, Andrea Dovizioso (kanan) dan rakan sepasukan, Jorge Lorenzo. - Foto AFP
INSIDEN membabitkan pelumba Ducati, Andrea Dovizioso (kanan) dan rakan sepasukan, Jorge Lorenzo. - Foto AFP

Pedrosa yang kurang sebulan menjalani pembedahan pergelangan tangan turut tercampak daripada jenteranya susulan insiden berkenaan.

Insiden itu membuka peluang buat pelumba Tech3 Yamaha dari Perancis, Johann Zarco untuk meraih tangga kedua manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba Suzuki dari Itali, Andrea Iannone.

Marquez yang memulakan perlumbaan di Jerez di petak kelima mengakhiri saingan dengan catatan 41:39.678 saat dan kini mengumpul 70 mata manakala Zarco di tangga kedua (58m).

"Saya yakin sebelum perlumbaan yang saya mampu untuk meraih kemenangan," kata Marquez.

"Benar, kami memulakan perlumbaan di barisan kedua tetapi apapun, hari ini saya bijak.

"Saya terus memberi tekanan... di sini perlumbaan amat panjang dan kamu perlu menguruskan banyak perkara."

MARC Marquez (tengah) bersama pelumba tempat kedua, Johann Zarco (kiri) dan Andrea Iannone pada GP Sepanyol di litar Jerez, hari ini. - Foto EPA
MARC Marquez (tengah) bersama pelumba tempat kedua, Johann Zarco (kiri) dan Andrea Iannone pada GP Sepanyol di litar Jerez, hari ini. - Foto EPA

Pelumba Yamaha, Valentino Rossi menamatkan perlumbaan di tangga kelima yang menyaksikan legenda Itali itu mencipta sejarah apabila sudah mengharungi 40,075 kilometer perlumbaan sepanjang 23 musim bermula di GP Malaysia pada 1996.

Pelumba Britain dari pasukan LCR Honda, Cal Crutchlow yang memulakan perlumbaan di petak utama gagal untuk menamatkan perlumbaan apabila terjatuh manakala pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakhiri saingan di tangga ke-16. - Reuters

Keputusan GP Sepanyol

1. Marc Marquez (ESP) Repsol Honda, 41 minit 39.678 saat (s)

2. Johann Zarco (FRA) Monster Yamaha Tech3, +5.241s

3. Andrea Iannone (ITA) Suzuki Ecstar, +8.214s

4. Danilo Petrucci (ITA) Pramac Ducati, +8.617s

5. Valentino Rossi (ITA) Movistar Yamaha, +8.743s

6. Jack Miller (AUS) Pramac Ducati, +9.768s

7. Maverick Viñales (ESP) Movistar Yamaha, +13.543s

8. Alvaro Bautista (ESP) Angel Nieto Team, +14.076s

9. Franco Morbidelli (ITA) EG 0,0 Marc VDS, +16.822s 

10. Mika Kallio (FIN) Red Bull KTM Factory, +19.405s

*HAFIZH SYAHRIN (MAS) Monster Yamaha Tech3, +41.861s

Berita Harian X