Isnin, 9 April 2018 | 7:18pm

Nazim harap tuah Sepang 

SHAH ALAM: Pemandu muda negara, Nazim Azman berazam meraih penamat podium pada pusingan penutup musim Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Nazim yang kini beraksi di F4 Itali mempunyai rekod cemerlang di Sepang pada pusingan pembuka tirai musim 2017/18 apabila meraih dua penamat di podium - masing-masing di tangga pertama dan ketiga, Oktober lalu.  

Dia bagaimanapun terlepas aksi pusingan kedua di Clark International Speedway, Filipina sebelum bangkit meraih empat penamat di podium secara berturut-turut di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand selepas itu.

"Saya mempunyai harapan mencari sebanyak mana kemenangan yang boleh," kata Nazim yang berusia 17 tahun kepada media selepas sesi memperkenalkan pemandu Malaysia yang dianjurkan penaja utama, Petron, hari ini.

"Di Buriram, kami meraih empat penamat podium dan untuk kali ini (di Sepang), kami harus bersaing untuk mencari kemenangan."

Pada pusingan pembuka tirai di Sepang yang berlangsung sebagai perlumbaan sampingan bagi Finale Formula Satu (F1) di Malaysia, Nazim melakar kemenangan yang cukup bermakna buat dirinya di laman sendiri.

"Kemenangan yang manis kerana ia Formula Satu (F1) terakhir di Malaysia. Semua ada untuk menyaksikannya dan saya meraih podium di laman sendiri. Sudah tentu ia sesuatu yang menarik dan sekarang, saya berharap dapat meraih lebih kemenangan berbanding sebelum ini," katanya.

Sebanyak enam perlumbaan dijadual berlangsung di Sepang hujung minggu ini tatkala pemandu dari China, Daniel Cao semakin pasti untuk meraih kejuaraan bagi musim kali ini.

"Saingan musim ini nyata kompetitif dan kami menjangkakan pusingan akhir nanti lebih mencabar bagi meraih kedudukan terbaik.

"Bagi pemandu Malaysia, meraih keputusan terbaik adalah penamat paling manis untuk musim kali ini," kata promoter F4 SEA, Peter Thompson.

Selain Nazim, turut beraksi mewakili Malaysia pada pusingan kemuncak itu ialah Isyraf Danish dan pasangan adik beradik, Arsh Johanny dan Armand Johanny.

PELUMBA F4 negara (dari kiri) Muizz Musyaffa, Nazim Azman, Arsh Johanny, Armand Johanny dan Isyraf Danish bersama jentera yang akan digunakan dalam kejohanan F4 SEA 2017-2018 di Litar Sepang ketika sesi pengenalan pemandu pasukan di Stesen Minyak Petron Batu 3. - Foto Supian Ahmad
PELUMBA F4 negara (dari kiri) Muizz Musyaffa, Nazim Azman, Arsh Johanny, Armand Johanny dan Isyraf Danish bersama jentera yang akan digunakan dalam kejohanan F4 SEA 2017-2018 di Litar Sepang ketika sesi pengenalan pemandu pasukan di Stesen Minyak Petron Batu 3. - Foto Supian Ahmad
Berita Harian X