Isnin, 9 April 2018 | 6:05pm
PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin (depan kanan) menamatkan pusingan kedua musim 2018 di Sirkit Termas de Rio Hondo di tangga kelima dengan catatan 41 minit 52.934 saat. - Foto SIC Racing Team
PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin (depan kanan) menamatkan pusingan kedua musim 2018 di Sirkit Termas de Rio Hondo di tangga kelima dengan catatan 41 minit 52.934 saat. - Foto SIC Racing Team

Adam masih tak puas hati

KUALA LUMPUR: Meskipun berjaya meraih penamat terbaik dalam karier Moto3 di Grand Prix (GP) Argentina awal pagi tadi, namun pelumba negara, Adam Norrodin masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya itu.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu menamatkan pusingan kedua musim 2018 di Sirkit Termas de Rio Hondo di tangga kelima dengan catatan 41 minit 52.934 saat (s) tatkala Marco Bezzecchi dari Redox PruestelGP, menguasai perlumbaan dalam keadaan permukaan trek basah.

"Jujurnya, saya kecewa kerana misi saya mahu menamatkan saingan di podium kerana tahu kemampuan saya selain selesa dengan jentera," kata Adam yang kini memasuki tahun ketiga dalam kelas Moto3.

"Namun, pada pertengahan perlumbaan, saya tidak boleh lagi memberi saingan kerana sudah mencapai had kemampuan. Jadi, ia sukar biarpun dari awal boleh bersaing bersama mereka namun di pertengahan saya bergelut.

"Disebabkan itu, saya hanya melakukan yang terbaik sehinggalah ke garisan penamat dan penamat kelima itu tetap keputusan yang baik untuk awal musim ini."

Selepas dua perlumbaan, Adam kini sudah mengumpul 16 mata untuk berada di tangga kelapan keseluruhan.

Sementara itu, dalam kelas Moto2, dua pelumba negara - Khairul Idham Pawi dan Zulfahmi Khairuddin - masing-masing menamatkan perlumbaan di tangga ke-24 dan 26.

Khairul Idham yang pernah muncul juara di Argentina dalam kelas Moto3 dua tahun lalu dan bersama IDEMITSU Honda Team Asia kali ini, dia menamatkan perlumbaan dengan catatan 41'47.659s, manakala Zulfahmi yang membuat kemunculan pertamanya dalam kelas pertengahan musim ini mencatat 42'10.531s.

Zulfahmi yang mewakili pasukan SIC Racing berkata: "Secara keseluruhan, saya gembira kerana meraih permulaan yang baik serta dapat memintas beberapa pelumba lain di beberapa pusingan.

"Saya cuba kekalkan kedudukan dalam kelompok 20 pelumba teratas tetapi malangnya, tidak dapat mengekalkan kelajuan.

"Jujurnya, saya melakukan peningkatan dari hari ke hari tetapi jurang jelas masih terlalu jauh dengan kelompok di atas. Harap kami dapat memikirkan sesuatu untuk perlumbaan seterusnya dan cuba merapatkan jurang (masa) dengan kelompok depan."

Berita Harian X