Isnin, 19 March 2018 | 10:06pm
PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin berjaya raih dua mata di Litar Losail, kelmarin. - Foto FB Monster Yamaha Tech3
PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin berjaya raih dua mata di Litar Losail, kelmarin. - Foto FB Monster Yamaha Tech3

Ayah yakin Hafizh Syahrin akan lebih gigih

KUALA LUMPUR: Ayah Hafizh Syahrin, Abdullah Harun yakin yang anaknya itu akan terus berusaha gigih bagi meraih pencapaian lebih baik pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia selepas ini.

Awal pagi tadi, Hafizh yang menyertai pasukan Monster Yamaha Tech3 meraih dua mata selepas menamatkan saingan Grand Prix Qatar di Litar Antarabangsa Losail, Doha, di tangga ke-14 pada penampilan sulungnya dalam kelas perdana, MotoGP.

"Selepas ini, Hafizh akan bekerja lebih gigih daripada ini untuk dirinya dan juga rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui selepas tayangan siaran langsung di The Podium, Penchala, dekat sini, semalam.

Dalam perlumbaan itu, Hafizh yang bermula dari petak ke-15 berjaya menamatkan perlumbaan seperti disasarkan pasukan dengan catatan, 42 minit 54.953 saat.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, dia sama sekali tidak menjangka Hafizh berjaya menjangkaui sasaran penamat ke-15 seperti diletakkannya sebelum perlumbaan bermula.

"Jangkaan saya adalah penamat ke-15 tetapi dia berjaya meraih tangga ke-14 dan dua mata ini adalah satu bonus buat rakyat Malaysia.

"Saya boleh melihat yang dia sedikit gementar pada dua pusingan awal dan menunggang dengan terlalu berhati-hati. Apapun, keputusan ini sudah melepasi jangkaan saya," katanya.

Berita Harian X