Isnin, 19 March 2018 | 4:32pm
HAFIZH Syahrin Abdullah.
HAFIZH Syahrin Abdullah.

Poncharal puas hati prestasi Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR: Prinsipal pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal menyifatkan pelumbanya, Hafizh Syahrin Abdullah sudah mempamerkan prestasi menakjubkan di Grand Prix (GP) Qatar.

Hafizh atau dikenali dengan gelaran Pescao atau bermaksud ikan kecil dalam bahasa Sepanyol menempah petak ke-15 dalam sesi kelayakan sebelum menamatkan perlumbaan di tangga ke-14, tengah malam tadi.

Keputusan diraihnya dalam perlumbaan dimenangi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso itu menyaksikan dia membawa pulang dua mata berharga pada penampilan sulung dalam kelas perdana, MotoGP.

"Sesi kelayakan yang hebat, meskipun pada permulaan (perlumbaan) tidak begitu baik," kata Poncharal. "Namun ini adalah permulaan bagi GP pertamanya dan kami memberitahunya supaya tidak melakukan sebarang kesilapan.

"Dia ada tercicir kedudukan tetapi berjaya diperbaiki. Dia bersaing sengit dengan ramai pelumba ternama dan menamatkan saingan dengan dua mata, yang mana satu prestasi menakjubkan.

"Sudah tentu, jurang peningkatan masih lagi besar tetapi apapun, tahniah kepadanya dan juga Johann (Zarco) dan keseluruhan pasukan kerana mereka semua berusaha dengan sangat gigih.

"Ini bukan minggu seperti yang mana diharapkan tetapi kami menerimanya sebagai sebahagian daripada saingan. Buat masa ini kami perlu berehat sepenuhnya sebelum memberi tumpuan kepada (GP) Argentina."

Sementara itu, Hafizh yang menamatkan perlumbaan selaku pelumba muka baharu kedua terpantas di belakang Franco Morbidelli dari pasukan EG 0,0 Marc VDS berkata, tumpuannya kini terarah kepada pusingan kedua musim ini di litar Termas de Rio Hondo pada 6 hingga 8 April.

"Saya berharap dapat lebih meningkat pada perlumbaan seterusnya dan akan terus gigih berlatih bagi mempersiapkan diri untuk memberi cabaran kepada kesemua pelumba," kata Hafizh.

Berita Harian X