Isnin, 19 March 2018 | 1:51am
HAFIZH (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali (kanan) dan Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya pada sesi kelayakan MotoGP Qatar di Doha, semalam.
HAFIZH (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali (kanan) dan Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya pada sesi kelayakan MotoGP Qatar di Doha, semalam.

Hafizh bersyukur raih mata

KUALA LUMPUR: Doa Abdullah Harun untuk melihat Hafizh Syahrin mengutip mata pada perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar, sebentar tadi, termakbul apabila anaknya itu menamatkan saingan di kedudukan ke-14.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu juga melepasi 'ujian keduanya' pada musim pertamanya dalam kelas MotoGP di Litar Antarabangsa Losail, apabila berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan 42 minit 54.953 saat.

Sebelum perlumbaan itu, pasukannya hanya meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan manakala kutipan mata disifatkan sebagai bonus.

Keputusan diraih oleh Hafizh secara tidak langsung memberinya dua mata berharga pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia 2018 itu.

"Alhamdulillah syukur pada perlumbaan ini saya dapat meraih mata, tidak sangka saya dapat kekal dalam kelompok mata," kata Hafizh. "Ini satu pengalaman bagi saya untuk perlumbaan akan datang.

"Saya rasa apa yang saya belajar berkenaan elektronik kali ini amat berguna untuk perlumbaan akan datang.

"Saya akan belajar lagi dan kaji balik apa kelemahan saya. Terima kasih kepada peminat yang doakan saya.

"Dua mata ini untuk anda semua dan walaupun tak sasarkan mata, dengan semangat dan fokus saya bersyukur dapat raih mata untuk pasukan dan Malaysia."

Selain itu, Hafizh turut muncul selaku muka baharu kedua terpantas di belakang Franco Morbidelli dari pasukan EG 0,0 Marc VDS.

 

 

Berita Harian X