Ahad, 18 March 2018 | 6:37pm
PELUMBA Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin akui berdepan sesi kelayakan yang sukar pada Grand Prix (GP) Qatar.
PELUMBA Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin akui berdepan sesi kelayakan yang sukar pada Grand Prix (GP) Qatar.

Zulfahmi akui sukar di sesi kelayakan GP Qatar

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin mengakui berdepan sesi kelayakan yang sukar pada Grand Prix (GP) Qatar tatkala aksi Hafizh Syahrin Abdullah dalam kelas MotoGP mencuri tumpuan ramai di Litar Losail, malam tadi.

Seorang lagi pelumba negara di kelas pertengahan Khairul Idham Pawi juga kurang mencetuskan impak apabila menempah petak ke-25 manakala Zulfahmi di petak paling belakang, 32 untuk perlumbaan malam ini.

Zulfahmi yang mewakili pasukan SIC Racing mencatat 2 minit 04.780 saat manakala Khairul Idham (IDEMITSU Honda Team Asia), 2'02.433s.

"Hari ini (semalam), adalah hari yang paling sukar. Saya mencuba banyak perkara tetapi gagal menemui tunggangan terbaik," kata Zulfahmi.

"Untuk perlumbaan esok (hari ini), saya akan beraksi dengan apa yang kami miliki. Persiapan kami amat bagus, tetapi saya masih kekurangan pengalaman dengan motosikal ini.

"Saya tahu keputusan ini tidak bagus tetapi saya percaya yang saya mampu perlu lebih laju dengan motosikal ini dan hanya perlu bertenang selain mengambilnya secara langkah demi langkah."

Dalam saingan Moto3, pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin berdepan masalah taktikal dan bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-17 dengan catatan masa sepusingan terbaik, 2'07.758s.

"Dalam sesi kelayakan ketiga, kami melakukan perubahan ketara ke atas motosikal dan saya dapat melihat peningkatannya," kata Adam. "Saya berasa begitu yakin dan saya dapat lakukan pusingan dengan baik di awal sesi kelayakan tetapi berlaku kesilapan di penghujung sesi.

"Sukar untuk saya (hari perlumbaan) tetapi minggu ini masih belum berakhir. Saya perlu berusaha gigih untuk berada di kelompok depan dan harap saya mampu melakukannya."

Rakan sepasukan Adam dari Jepun, Ayumu Sasaki bagaimanapun berjaya menempah petak keempat dengan catatan, 2:07.043s.

Berita Harian X