Isnin, 5 March 2018 | 10:44pm
ZULFAHMI perlu manfaat peluang terakhir dalam sesi ujian di Litar Jerez. FOTO/FAIL
ZULFAHMI perlu manfaat peluang terakhir dalam sesi ujian di Litar Jerez. FOTO/FAIL

Zulfahmi jalani ujian terakhir Moto2 esok

KUALA LUMPUR: Pelumba SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin akan memanfaatkan sesi ujian terakhir pra musim di Litar Jerez esok untuk melihat sejauh mana kemampuannya menghadapi saingan Moto2 yang membuka tirai bulan ini.

Menerusi ujian itu, pelumba berkenaan secara tak langsung dapat mengukur perbezaan prestasi dengan pesaing lain Moto2.

Pelumba berusia 26 tahun itu, yang menyertai SIC Racing sebagai pengganti saat akhir Hafizh Syahrin Abdullah, merakam beberapa catatan masa yang memberangsangkan ketika sesi ujian peribadi di Sepang bulan lalu.

"Jerez menjadi litar pertama untuk pelumba Moto2 berkumpul dan menguji jentera bersama. Jadi, ia akan menjadi sukar dan sudah pasti semua akan melihat catatan sepusingan, tetapi saya bersedia untuknya," kata Zulfahmi.

"Saya mahu tampil dengan aksi kompetitif sejak awal kerana percaya dengan keupayaan jentera saya di Sepang. Kami sudah mempelbagaikan pelarasan jentera dan saya gembira dengan apa yang kami capai selepas berakhir sesi ujian terbabit.

"Sudah tentu keadaan litar di Jerez amat berlainan. Jadi, saya berharap kami tidak perlu membuat banyak perubahan. Saya rasa yakin kami boleh terus tingkatkan prestasi sebelum perlumbaan pertama di Qatar."

Zulfahmi pernah menghabiskan dua musim bersaing dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) selain enam musim beraksi dalam saingan 125cc dan Moto3. Musim baharu akan membuka tirai di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 18 Mac.

Berita Harian X