Rabu, 20 Disember 2017 | 9:21pm
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah enggan fikir isu penamatan kerjasama penaja ganggu persiapan bersama pasukan SIC Racing Team. - Foto fail
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah enggan fikir isu penamatan kerjasama penaja ganggu persiapan bersama pasukan SIC Racing Team. - Foto fail

Hafizh tidak mahu fikirkan sejarah lalu

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak mahu ambil pusing berhubung penamatan kerjasama membabitkan dirinya bersama penaja, syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Hafizh yang menyaksikan tajaannya selama enam tahun dengan syarikat minyak gergasi itu akhirnya berakhir berkata, dia hanya mahu fokus terhadap masa depannya bersama pasukan baru, SIC Racing Team.

"Saya tidak bersama PETRONAS lagi tapi pada masa sama, saya tidak mahu menoleh ke belakang," katanya yang beraksi empat musim penuh bersama PETRONAS Raceline.

"Saya hanya mahu fokus kepada masa depan dan percaya pasukan baru akan memberikan yang terbaik dalam soal jentera dan kru.

"Sudah tentu saya tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan baru musim depan bermula dengan ujian pramusim di Valencia (Februari) dan Jerez (Mac).

"Saya akan memanfaatkan peluang beraksi di sesi kelayakan untuk menyesuaikan diri dengan jentera baru selain menjalin kerjasama lebih baik dengan anggota pasukan lain," katanya.

Pelumba berusia 23 tahun itu berharap dapat menyinar menerusi kelas Moto2 musim depan dalam usahanya untuk melangkah ke kelas perdana, MotoGP pada 2019.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sudah meletakkan sasaran untuknya agar dapat menamatkan saingan musim depan di kelompok lima pelumba terbaik.

Hafizh bakal mencipta sejarah jika dia beraksi dalam saingan MotoGP kerana belum pernah mana-mana pelumba tempatan beraksi di kelas paling utama itu.

Dia berjaya meraih dua podium di Misano dan Motegi tahun ini untuk menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan ke-10 dengan mengumpul 106 mata.

Hafizh menamatkan saingan di kedudukan keempat menerusi tiket wild card pada perlumbaan di Sepang 2012, tetapi berjaya menaiki podium ketiga selepas kemenangan Anthony West yang menaiki podium kedua ditarik balik kerana gagal ujian doping.

PETRONAS yang meraih kejayaan membanggakan bersama pasukan Formula Satu (F1), Mercedes AMG PETRONAS sejak beberapa tahun lalu, pada awalnya memberi komitmen untuk terus menaja Hafizh tetapi melakukan pusingan U.

Bagaimanapun mereka akan kekal menaja pasukan PETRONAS Sprinta Racing yang beraksi dalam kategori Moto3.

Berita Harian X