ABU DHABI: Lewis Hamilton mencatat masa terpantas dengan rekod baru ketika dia serta Sebastian Vettel bersaing sengit mendominasi sesi latihan bebas kedua Grand Prix Abu Dhabi, awal pagi tadi.
Kedua-dua pemandu Mercedes dan Ferrari itu dilihat sudah membina perseteruan menjelang musim baru 2018 dengan Vettel menegaskan dia sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi musim baru.
"Kami mencuba pelbagai aspek untuk meningkatkan prestasi jentera bukan semata-mata untuk musim depan tapi apa yang kami sudah lakukan sejak dua minggu lalu adalah untuk tahun depan. Fokus kami ketika ini adalah sudah bersedia untuk tahun depan.
"Amat penting untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik. Dengan meraih keputusan yang baik, kami juga dapat merasai mood yang positif.
"Kami akan mencuba sebaik mungkin tapi saya rasa kami sudah memikirkan pakej jentera untuk tahun depan," kata Hamilton.
Hamilton mencatat rekod sepusingan terpantas sekali gus mengatasi catatan Vettel pada sesi latihan bebas kedua.
Dia yang baru saja dinobat selaku juara dunia buat kali keempat mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 37.877 saat untuk mengatasi catatan Vettel.
Pemandu Australia, Daniel Ricciardo ketiga bersama jentera Red Bull sekali gus mengatasi seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen; Valtteri Bottas (Mercedes) serta rakan sepasukan Max Verstappen.
"Ia hari yang cukup baik. Kami melakukan banyak pusingan hari ini dan berjaya meningkatkan prestasi jentera.
"Ada beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan tapi saya berasakan kami cukup kompetitif di sini," kata Hamilton. - AFP