Sabtu, 18 November 2017 | 9:41pm
PELUMBA PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin terus cemerlang apabila berjaya mengungguli sesi kelayakan pada hari pertama pusingan kemuncak Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Dataran Bandar Penawar, Johor, hari ini.

Kasma terpantas di Dataran Bandar Penawar

KUALA LUMPUR: Kasma Daniel Kasmayudin berada di landasan tepat untuk menamatkan musim 2017 dengan cemerlang apabila berjaya mengungguli sesi kelayakan pada hari pertama pusingan kemuncak Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Dataran Bandar Penawar, Johor, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu merakamkan catatan terbaik 56.178 saat, 0.409s lebih pantas berbanding Md Izzat Zaidi Salehan (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) yang muncul pelumba kedua terpantas.

Rakan sepasukan Kasma, Mohd Ramdan Rosli muncul ketiga terpantas dengan masa 56.731s.

Meskipun sudah mengesahkan kedudukan selaku juara keseluruhan CP150, pelumba berusia 17 tahun itu mahu menamatkan musim 2017 dengan satu lagi kemenangan bagi melengkapkan koleksi

musim 2017 kepada enam kemenangan peribadi sebagai hadiah kepada penyokong di laman sendiri, esok.

"Walaupun litar ini pertama kali berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix, namun saya sangat menggemarinya," kata Kasma. "Gabungan laluan lurus panjang dan beberapa selekoh yang sempit sesuai dengan gaya 'stop and go' saya.

"Tambahan pula beraksi di laman sendiri... sudah tentu saya semakin bersemangat untuk menamatkan musim 2017 ini dengan satu lagi kemenangan."

Sementara itu, kelas WIRA berlangsung dengan penuh dramatik apabila pendahulu keseluruhan, Mohd Aiman Tahiruddin terkeluar daripada barisan pelumba yang layak ke perlumbaan akhir selepas hanya menduduki tangga terakhir susulan masalah mekanikal jentera ditunggangnya.

Aiman hanya memerlukan tiga mata saja untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan dan kini terpaksa mengharapkan pesaing utamanya, Mohd Syafieq Aiman (Elf Koyoko KC Racing Team) tidak memenangi perlumbaan bagi mencerahkan peluangnya muncul juara keseluruhan.

_________________________________________________________________

INFO

Keputusan sesi kelayakan

CP150

1. Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju) Motor, 56.178s

2. Md Izzat Zaidi Md Salehan (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing), 56.587s

3. Md Ramdan Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 56.731s

4. Md Helmi Azman (Onexox TKKR Racing Team), 56.739s

5. Md Azhar Abd Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing), 56.756s

_________________________________________________________________

CP115

1. Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 57.623s

2. Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing), 57.743s

3. Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 57.932

4. Azroy Hakeem Anuar (GiVi Honda Yuzy Racing Team), 57.932s

5. Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing), 58.166s

_________________________________________________________________

WIRA

1. Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing), 59.063s

2. Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing), 59.136s

3. Md Syafieq Aiman (Elf Koyoko KC Racing Team), 59.188s

4. Md Danial Syahmi (PETRONAS Sprinta Yamaha - AFB Tech), 59.261s

Berita Harian X