Ahad, 5 November 2017 | 11:47pm
ZULFAHMI menamatkan perlumbaan penamat musim di Litar Losail di tangga ke-19 dan berada di kedudukan ke-35 keseluruhan dengan enam mata. - Foto Osman Adnan
ZULFAHMI menamatkan perlumbaan penamat musim di Litar Losail di tangga ke-19 dan berada di kedudukan ke-35 keseluruhan dengan enam mata. - Foto Osman Adnan

Zulfahmi gagal menyinar perlumbaan terakhir bersama Orelac

KUALA LUMPUR: Perlumbaan terakhir musim pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Qatar berlangsung penuh emosi buat Zulfahmi Khairuddin dan juga pasukannya, Orelac Racing VerdNatura.

Bekas pelumba Moto3 itu tidak lagi bersama pasukan berpangkalan di Sepanyol itu tahun depan selepas kali pertama menyertainya tahun lalu.

"Terima kasih kepada semua dalam pasukan Orelac kerana memberi peluang bersama dan mengumpul banyak pengalaman berharga," kata pelumba berusia 26 tahun itu.

"Sebagai satu pasukan, kami berkongsi detik naik turun tapi kami tetap bersama mengharunginya."

Zulfahmi menamatkan perlumbaan penamat musim di Litar Losail di tangga ke-19 dan berada di kedudukan ke-35 keseluruhan dengan enam mata.

Sementara itu pengurus pasukan, Giulio Bardy berkata: "Ini satu perlumbaan yang sangat beremosi buat kami kerana Fahmi tidak bersama kami lagi tahun depan.

"Kami menghargai bakatnya selama dua tahun ini - bukan hanya sebagai seorang pelumba tapi juga sebagai individu. Dia menjadi sebahagian keluarga ini dan sentiasa dialu-alukan."

Zulfahmi mengakhiri musim dalam kategori SuperSport dengan hanya enam mata daripada 12 perlumbaan. Pencapaian terbaiknya di Phillip Island (Februari) selain turut meraih mata di Aragon (April).

Sebelum ini, dia dikatakan mungkin menyertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) ataupun dicadangkan menjadi jurulatih di bawah Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Berita Harian X