Sabtu, 14 Oktober 2017 | 11:03pm
KASMA Daniel Kasmayudin muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Kasma raih petak utama

KUALA LUMPUR: Kasma Daniel Kasmayudin berada di landasan terbaik untuk meraih kemenangan keenam dalam kategori CP150 selepas muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu merakam masa terbaik 45.651s manakala pelumba Onexox TKKR Racing, Md Helmi Azman yang beraksi cemerlang dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) melakar pencapaian terbaik peribadi musim ini apabila mencatat masa kedua terpantas dengan masa 45.817s.

Md Adib Rosley (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 45.876s sambil Md Fitri Ashraff Razali (PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ) dan Md Izzat Zaidi Md Salehan (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) melengkapkan senarai lima pelumba terbaik dengan catatan 45.893s dan 45.910.

"Keadaan cuaca hari ini agak baik berbanding hujan dan cuaca tidak begitu menentu sepanjang minggu ini," jelas Kasma.

"Bagi saya, perlumbaan di Jempol kali ini tidak banyak berbeza berbanding perlumbaan lalu. Saya tidak berasa sebarang tekanan untuk mengejar kemenangan sekali gus menebus kekalahan di litar ini musim lalu."

Sementara itu, dalam saingan CP115, Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) merakam masa terpantas sesi kelayakan dengan masa 46.619s diikuti duo PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairues, masing-masing dengan catatan terbaik 46.661s dan 46.713s.

Dalam saingan Wira, Md Anuar Ibrahim Pawi (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) akan memulakan perlumbaan dari petak pertama selepas mencatat masa terpantas sesi shootout dengan masa 47.218s diikuti rakan sepasukan, Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) kedua, 47.505s.

Pendahulu keseluruhan, Md Aiman Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha - AFB Tech) bermula dari petak ketiga dengan catatan 47.643s.

Berita Harian X