Sabtu, 29 Julai 2017 | 10:13am
LEWIS Hamilton ketika sesi latihan bebas di Litar Hungaroring semalam.- Foto AFP
LEWIS Hamilton ketika sesi latihan bebas di Litar Hungaroring semalam.- Foto AFP

F1: Hamilton yakin jentera Mercedes mampu lebih laju

BUDAPEST: Lewis Hamilton yakin jentera Mercedes AMG PETRONAS mampu berlumba lebih laju dalam usahanya memburu kemenangan keenam di Grand Prix (GP) Hungary, esok.

Persaingan pendahulu keseluruhan Formula Satu (F1) agak menarik ketika ini apabila Hamilton hanya dipisahkan satu mata di belakang juara dunia empat kali, Sebastian Vettel dari Ferrari.

Begitupun, selepas dua sesi latihan bebas di Litar Hungaroring semalam, pemandu Britain itu hanya mencatatkan masa kelima terpantas dalam saingan yang dikuasai pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo.

"Ia bukan permulaan yang mudah dengan keadaan yang amat berangin," kata Hamilton. "Kami menamatkan sesi di tangga kelima namun jelas kelajuan jentera berada pada tahap yang baik.

"Ini persaingan yang sengit antara Ferrari, Red Bull dan Mercedes dalam carta kedudukan, jadi perlumbaan ini pasti menarik untuk disaksikan.

"Masih ada kerja yang harus kami lakukan terhadap jentera bagi mendapatkan keseimbangan seperti yang kami mahukan dan saya percaya jentera memiliki kelajuan."

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas juga bersetuju dengan kenyataan pemandu berusia 32 tahun itu.

"Kami masih ada kerja yang perlu dilakukan. Tiga pasukan di kelompok depan agak rapat antara satu sama lain. Saya kurang gembira dengan keseimbangan jentera dan saya agak bergelut di bahagian belakang." - AFP

Berita Harian X