Selasa, 7 Februari 2023 | 7:10pm
Syafiq Zuber menyumbang emas kepada skuad taekwondo negara di Sukan SEA Hanoi 2021.
Syafiq Zuber menyumbang emas kepada skuad taekwondo negara di Sukan SEA Hanoi 2021.

Skuad taekwondo sasar dua emas di Kemboja

KUALA LUMPUR: Skuad taekwando negara mengintai peluang untuk membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Setiausaha Agung Taekwando Malaysia (TM), R Dhanaraj, berkata pihaknya mampu memperbaiki pencapaian pada edisi terakhir di Hanoi, Vietnam tahun apabila sekadar meraih satu emas, satu perak dan tiga gangsa.

"Sasaran TM adalah untuk meraih dua emas yang mana satu daripadanya daripada disiplin poomsae dan kyorugi. Kami turut sasarkan untuk meraih satu perak atau mungkin tiga gangsa.

"Buat masa ini, sasaran ini dianggap realistik dengan kita hanya mempunyai baki empat bulan. Jadi, kita akan fokus kepada atlet yang sudah berjaya capai beberapa kejayaan sebelum ini," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Dhanaraj, berkata pihaknya juga sudah mempunyai senarai pendek atlet yang akan menggalas cabaran di Kemboja namun masih belum dimuktamadkan.

Katanya, sebagai persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu, atlet yang akan mewakili negara akan beraksi dalam dua kejohanan selain akan 'berkampung' di Korea Selatan selama enam minggu.

"Pemilihan atlet masih belum diputuskan kerana akan terdapat kejohanan kebangsaan pertengahan bulan ini. Di situ kita akan lihat prestasi mereka belum memutuskan siapa yang akan mewakili negara di Sukan SEA.

"Selepas itu atlet yang terpilih akan menyertai kejohanan pra Sukan SEA pada Mac diikuti kem latihan di Korea selama enam minggu. Pemilihan atlet akan dibuat dengan rapi kerana TM hanya menyertai 15 acara yang dipertandingkan dari 24 acara di Kemboja," katanya.

Berita Harian X