KUALA LUMPUR: Atlet wushu, Tan Cheong Min mahu membalas kepercayaan diletakkan ke atas dirinya dengan menghadiahkan kejayaan buat negara apabila membuat penampilan pada Sukan SEA Kemboja, Mei ini.
Juara dunia 2019 itu, berkata dia teruja untuk beraksi di temasya dwitahunan itu dan akan melakukan yang terbaik untuk cuba menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia nanti.
Katanya, dia sedang giat melakukan persiapan khususnya memperbaiki segala kelemahan untuk lebih bersedia sebelum beraksi di Kemboja.
"Saya gembira dan teruja kerana ini adalah penampilan pertama di Sukan SEA walaupun sebelum ini pernah beraksi pada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.
"Sudah tentu penampilan pertama di pentas Sukan SEA agak gemuruh tetapi saya yakin mampu melakukan terbaik untuk negara. Setakat ini, persediaan berjalan lancar walaupun tidak mencapai 100 peratus tapi menunjukkan peningkatan positif," katanya.
Skuad wushu negara meletakkan sasaran untuk membawa satu pingat emas pada Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh yang akan berlangsung bermula 5 hingga 17 Mei ini.
Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) baru-baru ini sudah pun mengeluarkan senarai atlet yang akan membawa cabaran negara di Kemboja.
Antara yang menjadi pertaruhan untuk membawa pulang pingat untuk negara adalah Clement Ting Su Wei dan Tan Zhi Yan yang sebelum ini meraih emas untuk negara pada edisi lalu.
Di Sukan SEA Hanoi tahun lalu, pasukan wushu negara membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa untuk berada di tangga kelima daripada 10 negara yang menyertai sukan berkenaan.