Jumaat, 3 Februari 2023 | 4:15pm
 Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyampaikan Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan kepada Bonnie Bunyau Gustin pada majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di MSN Bukit Jalil. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyampaikan Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan kepada Bonnie Bunyau Gustin pada majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di MSN Bukit Jalil. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Bonnie tekad kekal nombor satu dunia

KUALA LUMPUR: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin tekad untuk mengekalkan kedudukan di ranking nombor satu dunia apabila menyertai Kejohanan Dunia Powerlifting di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ogos depan.

Atlet berusia 23 tahun itu menyifatkan anugerah Olahragawan Paralimpik 2021 yang dimenanginya, Sabtu lalu menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk menghasilkan keputusan terbaik dalam setiap kejohanan disertai sebelum memulakan misi 'Gold Paris' pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

"Saya harap dengan gelaran ini saya terus bersemangat dan kekalkan prestasi sehingga Paralimpik Paris 2024 nanti. Fokus saya juga ingin kekal ranking nombor satu dunia," kata Bonnie.

Bonnie mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam sukan itu di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Lebih manis, dia yang bersaing dalam kelas 72 kilogram di Olimpik Tokyo merangkul emas dengan angkatan terbaiknya 228 kg sekali gus memecahkan rekod temasya yang sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan ketika di Rio de Janeiro.

Kejohanan Para Powerlifting Dunia 2023 yang dijangka berlangsung pada Ogos itu turut menawarkan slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Berita Harian X