Ahad, 11 September 2022 | 1:29pm
 Pasukan pesilat Pahang sudah bersiap sedia menghharungi cabaran SUKMA XX MSN 2022 di Lembah Klang pada minggu depan. - Foto ihsan Datuk Osman Nok
Pasukan pesilat Pahang sudah bersiap sedia menghharungi cabaran SUKMA XX MSN 2022 di Lembah Klang pada minggu depan. - Foto ihsan Datuk Osman Nok

Al Jufferi suntik semangat pasukan SUKMA Pahang

KUALA LUMPUR: Juara silat dunia empat kali, Al Jufferi Jamari kini menggalas tugas sebagai jurulatih pasukan Pahang yang akan bersaing pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 di Lembah Klang, bermula minggu depan.

Kehadiran anak jati kebanggaan Pahang itu yang meraih gelaran keempat dunia di Melaka, Julai lalu tentunya memberi semangat tambahan kepada pasukan yang dibarisi 32 atlet ini untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi pada temasya Perak 2018.

"Al Jufferi menyertai kami selepas kejuaraan dunia baru-baru ini," kata Setiausaha Agung Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang), Datuk Osman Nok ketika dihubungi.

"Kemasukannya memperkuatkan lagi kontinjen dan memberi lebih lagi semangat kepada pesilat Pahang. Juara dunia empat kali melatih pesilat pasukan, sudah tentunya ia menaikkan semangat mereka.

"Maknanya, kalau sebelum ini semangat juang mereka dalam 70 peratus, sekarang ini mungkin sudah melebihi 90 peratus kerana kebanggaan pesilat ini ada bersama-sama pasukan."

Al Jufferi sebelum ini melengkapkan gelaran dunia keempatnya selepas mengumumkan persaraan, dengan menewaskan pesilat Indonesia, Iqbal Chandra Pratama 35-21 pada Kejuaraan Silat Dunia 2022 di Melaka.

Skuad silat Pahang mempunyai reputasi 'digeruni' pada temasya SUKMA dan untuk kali ini mereka menyasarkan lima emas daripada 32 pesilat muda pada edisi kali ini selepas meraih enam emas di Perak, empat tahun lalu.

"Pesilat Pahang sudah bersedia dan pada ketika ini sedang menjalani latihan fasa akhir selama sebulan di Cameron Highlands," kata Osman. "Sudah tentu, sasaran kita nak jadi juara keseluruhan seperti di Perak pada 2018. Kita mahu mempertahankan pencapaian yang diraih sebelum ini."

Berita Harian X