Jumaat, 30 September 2022 | 5:15pm
Pesilat Pahang, Faiz Aniq Fazly meraikan kejayaan memenangi pingat emas kategori putra bebas pada SUKMA 2020 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sain Islam Malaysia, Nilai, baru-baru ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Pesilat Pahang, Faiz Aniq Fazly meraikan kejayaan memenangi pingat emas kategori putra bebas pada SUKMA 2020 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sain Islam Malaysia, Nilai, baru-baru ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

Faiz Aniq azam layak ke Sukan SEA Kemboja

KUALA LUMPUR: Selepas meraih pingat emas dalam kelas bebas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022, pesilat Pahang, Faiz Aniq Fazly mengimpikan untuk menyertai skuad kebangsaan sekali gus mewakili negara pada Sukan SEA Kemboja, tahun depan.

Begitupun, pesilat dari Temerloh itu berkata, dia mungkin perlu menurunkan berat badannya untuk bertanding dalam kelas lebih bersesuaian pada saingan peringkat Asia Tenggara nanti, iaitu temasya yang pernah disertai jaguh dunia empat kali, Al-Jufferi Jamari dalam kelas E ataupun F.

Al-Jufferi yang mengumumkan persaraannya tahun ini dan membantu pasukan silat pada SUKMA kali ini bukanlah nama asing buat Faiz memandangkan jaguh persilatan negara itu juga adalah 'orang negerinya' dan dia sememangnya menaruh harapan untuk menggantikan tempat idolanya itu.

"Saya memang nak ke Sukan SEA," kata Faiz yang bakal menyertai Kejuaraan Kebangsaan selepas ini. "Namun saya kena menurunkan berat badan sebab kelas bebas ini seperti tidak sesuai dengan saya.

"InsyaAllah ganti (tempat Al-Jufferi). Saya memang ada meletakkan harapan sebegitu. Dia juga bersama kontinjen Pahang (di SUKMA 2022). Saya sememangnya berbangga dengan dia," katanya yang selepas ini juga akan menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pada pentas final kelas bebas, Faiz menewaskan pesilat Wilayah Persekutuan, Nazreen Ahmad Imran dengan keputusan 56-10 manakala gangsa dimenangi bersama Muhd Azrie Muhammad Azuan Tiong dari Sarawak dan Muhammad Farhan Ahmad (Kelantan).

Pasukan Terengganu muncul selaku juara keseluruhan bagi sukan silat dengan meraih lima emas, empat perak dan empat gangsa manakala Kedah berada di tangga kedua, lima emas, dua perak dan empat gangsa.

Wilayah Persekutuan berada di tangga ketiga dengan tiga emas, empat perak dan enam gangsa manakala Pahang pulang dengan dua emas, lima perak dan enam gangsa.

Berita Harian X