Jumaat, 23 September 2022 | 9:45pm
Atlet Johor, Rouxin Tan memberi isyarat enam sebagai simbolik dia memenangi enam pingat emas pada temasya SUKMA ke-20 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Atlet Johor, Rouxin Tan memberi isyarat enam sebagai simbolik dia memenangi enam pingat emas pada temasya SUKMA ke-20 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Tan Rouxin ratu kolam renang SUKMA ke-20

KUALA LUMPUR: Perenang wanita Johor, Tan Rouxin layak dinobatkan sebagai ratu kolam renang Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 selepas memenangi keseluruhan enam pingat emas pada temasya kali ini.

Pada hari terakhir renang dipertandingkan, sebentar tadi, Rouxin merekodkan emas keenam peribadinya selepas mengungguli acara 100 meter (m) kuak lentang dengan catatan masa 1:05.19 saat (s) dalam aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Perenang berusia 16 tahun itu mengatasi atlet Wilayah Persekutuan, Chong Xin Lin yang meraih perak (1:05.55s) dan gangsa milik Kelly Teo Yao dari Sarawak (1:07.41s).

Rouxin berharap pencapaian luar biasa yang dilakarnya pada penampilan pertama di temasya SUKMA kali ini dapat membuka peluang untuk dia diserap dalam skuad kebangsaan bagi membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.

"Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan sentiasa berada di belakang saya selama ini. Kejayaan kali ini juga sangat tak disangka-sangka.

"Dengan enam pingat emas pada penampilan pertama saya di SUKMA, ia adalah perkara luar biasa. Saya sendiri tidak percaya.

"Selepas ini saya mahu melayakkan diri ke Sukan SEA Kemboja tahun depan kerana itu adalah harapan terbesar saya setakat ini," katanya yang turut meraih emas dalam acara 200m kuak lentang, 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada, 200m rampaian.

Sementara itu, perenang lelaki Wilayah Persekutuan, Bryan Leong Xin Ren turut cemerlang selepas meraih lima pingat emas menerusi acara 50m kuak kupu-kupu, 100m kuak kupu-kupu, 50m kuak dada, 50m gaya bebas selain membantu pasukannya memenangi acara 4X100 gaya bebas.

Berita Harian X