Khamis, 25 Ogos 2022 | 8:27pm
Pemain muda Sarawak, Anson Yeo Boon Xiang meraikan kejayaan memenangi golf Terbuka Wilayah Persekutuan pertama di di Kelab Golf Antarabangsa Labuan, hari ini. - Foto BERNAMA.
Pemain muda Sarawak, Anson Yeo Boon Xiang meraikan kejayaan memenangi golf Terbuka Wilayah Persekutuan pertama di di Kelab Golf Antarabangsa Labuan, hari ini. - Foto BERNAMA.

Anson juara golf Terbuka Wilayah Persekutuan

LABUAN: Bintang muda dari Sarawak, Anson Yeo Boon Xiang, mencuri tumpuan apabila mengungguli kejohanan sulung Golf Amatur Terbuka Wilayah Persekutuan (WP) menerusi kelebihan dua pukulan ke atas pendahulu semalaman, Brandon Lai Chung Weng, di sini, hari ini.

Pemain berusia 16 tahun dari Samarahan itu melakukan pukulan birdie pada lubung ke-11 untuk mencatatkan pukulan par 72, sekali gus mengumpul 219 pukulan keseluruhan, tiga bawah par untuk mengatasi Brandon yang hanya mampu melakarkan lima atas par 77 pada pusingan akhir,

Brandon dari Sarawak mendahului dua pusingan awal serta memiliki kelebihan tiga pukulan sebelum melangkah ke pusingan akhir, mengumpul 221 pukulan pada saingan di Kelab Golf Antarabangsa Labuan (LIGC) di sini.

Pencapaian cemerlang tersebut oleh Anson Yeo itu adalah gelaran kedua dalam siri keempat melangkah ke edisi ke-118 Terbuka Amatur Malaysia 2022 selepas menjuarai Golf Amatur Terbuka Perak di Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh, pada 4 Ogos lalu.

Tempat ketiga dan keempat menjadi milik pemain dari Sarawak dengan Malcolm Ting Siong Hung merakamkan jumlah keseluruhan 11 atas 227 pukulan diikuti Benjamin Ethan Ngelingkong dengan jumlah keseluruhan 229 pukulan.

Seramai 48 pemain golf amatur dari Labuan, Sabah, Sarawak, Brunei dan Pahang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang merupakan pusingan keempat melangkah ke edisi ke-118 Terbuka Amatur Malaysia 2022, anjuran bersama Persatuan Golf Malaysia (MGA), MS³ Golf Sdn Bhd dan LIGC.

Siri kelima melangkah ke Terbuka Amatur Malaysia 2022 adalah Terbuka Amatur Terengganu dari 27 hingga 30 Ogos diikuti Kelantan (9-12 September), Pahang (29 September-2 Oktober), Perlis (6-9 Oktober), Kedah (10-13 Oktober), Selangor (17-20 Oktober), Johor (31 Oktober-3 November), Sabah (10-13 November), Sarawak (17-20 November) dan Terbuka Amatur Melaka dari 28 November hingga 1 Disember ini.

- BERNAMA

Berita Harian X