Jumaat, 5 Ogos 2022 | 2:28pm
Shah Firdaus harap lebih banyak kejohanan basikal trek dianjurkan di Malaysia.
Shah Firdaus harap lebih banyak kejohanan basikal trek dianjurkan di Malaysia.

Shah Firdaus bimbang tiada kejohanan kompetitif

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengakui kurangnya perlumbaan kompetitif di Malaysia antara perbezaan yang paling ketara selepas skuad negara ditempatkan di Velodrom Nasional Nilai berbanding di Melbourne, Australia sebelum ini.

Pemenang pingat gangsa keirin Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu, berkata jika di Melbourne dia dapat menyertai perlumbaan kompetitif setiap minggu selain daripada mengikuti program latihan yang sudah dirancang jurulatih.

"Sudah tentu banyak beza. Jika di Australia setiap minggu akan ada perlumbaan. Saya sentiasa berlumba dengan pelumba handalan di sana seperti pemenang pingat emas pecut, Matthew Richardson.

"Kejohanan di sana memang di tahap tertinggi, walaupun bertaraf negeri tetapi sudah seakan peringkat kebangsaan," katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Birmingham di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Shah Firdaus yang selepas ini akan mengalihkan tumpuan bagi melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Dunia, Oktober depan, berkata di Malaysia memang sukar untuk mendapat perlumbaan kompetitif biarpun untuk tempoh setahun sekali.

"Kejohanan di sini tidak sama seperti di Australia, berbasikal trek memang memerlukan perlumbaan tahap tinggi jika kita membuat persediaan untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

"Dari segi latihan dan fasiliti memang tidak menjadi masalah cuma perlumbaan sahaja kurang kompetitif berbanding di sana. Harap perancangan seperti itu (banyak perlumbaan kompetitif) tetapi kalau tiada, apa boleh buat… hanya fokus terhadap latihan bagi meningkatkan prestasi," katanya yang mula berpangkalan di Australia sejak 2013 sehinggalah Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu.

Di Birmingham, dia yang turut beraksi dalam acara pecut terkandas di suku akhir selepas tumpas kepada Richardson, manakala dalam acara pecut berpasukan ketika bergandingan bersama adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis mereka hanya menduduki tempat kelima.

Berita Harian X