Ahad, 31 Julai 2022 | 12:27pm
Perenang negara, Sebastion Soon muncul atlet renang paling menyerlah pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dengan tiga pingat emas dalam acara 400m individu medley, 1500m gaya bebas individu lelaki dan 4x200m gaya bebas lelaki.
Perenang negara, Sebastion Soon muncul atlet renang paling menyerlah pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dengan tiga pingat emas dalam acara 400m individu medley, 1500m gaya bebas individu lelaki dan 4x200m gaya bebas lelaki.

AUG 2022: Skuad renang gagal capai sasaran

UBON RATCHATHANI: Di sebalik 'kurang' dua pingat emas daripada yang disasarkan namun skuad renang negara dianggap terus meraih pencapaian memuaskan pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.

Skuad negara menutup kempen edisi 2022 dengan enam pingat emas, 11 pingat perak dan 10 gangsa selepas mengharungi saingan selama lima hari.

Bagaimanapun, mereka masih boleh berbangga dengan pencapaian memecahkan rekod temasya menerusi kuartet 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki terdiri daripada Welson Sim, Sebastian Soon, Low Zheng Yong dan Terence Ng Shin Jie dengan catatan 7 minit 32:34 saat.

Catatan itu cukup untuk memadam rekod lama, 7 minit 34:21 saat yang turut dilakukan kem negara pada temasya 2016 di Singapura.

Pengurus pasukan renang Malaysia, Tan Seng Seng berkata, barisan perenang negara memperagakan aksi mantap terutamanya selepas mengambil kira kebanyakan mereka tampil buat kali pertama pada temasya dwitahunan itu.

"Kita sebenarnya boleh mencapai sasaran yang ditetapkan cuma tidak bernasib baik pada saingan 4x100m dan 200m gaya bebas termasuklah penyertaan membabitkan acara 50m kuak dada.

"Secara keseluruhan, saya tetap berpuas hati dengan prestasi mereka walaupun kali pertama menyertai kejohanan ini namun tetap memenangi pingat.

"Apapun, atlet renang negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila 15 daripada 17 perenang membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat di kejohanan ini," katanya.

Sebagai rekod, enam pingat emas acara renang pada temasya itu dimenangi menerusi acara 400m gaya bebas lelaki, 1,500m gaya bebas lelaki, 400m individu lelaki, kuartet 4x200m gaya bebas lelaki, 100m gaya bebas lelaki dan 400m kuak lentang lelaki.

Edisi 2018 di Myanmar menyaksikan kem renang negara membawa pulang lapan pingat emas, tujuh pingat perak dan 11 gangsa.

Berita Harian X