Ahad, 31 Julai 2022 | 12:23am
MELAKA, 30 Julai -- Jaguh silat negara Mohd Al Jufferi Jamari (kanan) meraikan kemenangannya selepas berjaya menewaskan lawannya pesilat dari Algeria Zetout Abdelmalek pada perlawanan peringkat separuh akhir kategori Tanding di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dekat Ayer keroh, hari ini.

Al Jufferi, Siti Rahmah mara ke final

MELAKA: Jaguh silat negara Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Mohd Al Jufferi Jamari menepati ramalan, apabila mara ke pusingan akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022.

Namun, laluan kedua pesilat negara itu pada aksi separuh akhir pada petang ini tidak semudah yang dijangkakan apabila diberi tentangan hebat, sebelum berjaya menewaskan lawan masing-masing.

Juara dunia empat kali Siti Rahmah yang beraksi dalam Kelas F Wanita, turut menerima tentangan hebat dari pesilat Singapura Nur Shaqira Sheik Alau'ddin sebelum melakar kemenangan 38-16.

Lebih mendebarkan, saingan kedua pesilat di hadapan lebih 500 penonton tersebut berlangsung dalam suasana tegang, termasuk Siti Rahmah diberikan amaran apabila tertendang bahagian leher Nur Shaqira.

MELAKA, 30 Julai -- Pesilat wanita negara Siti Rahmah Mohamed Nasir (tengah) ketika beraksi menentang pesilat dari Singapura Nur Shaqira Sheik Alau'ddin pada perlawanan peringkat separuh akhir kategori Tanding di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dekat Ayer keroh, hari ini.

"Saya cuba bermain secara selamat sebab sebolehnya nak elakkan cedera. Sudah pasti matlamat utama saya adalah mempertahankan emas dalam kejuaraan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Bakal bertemu pesilat Vietnam Quang Thi Thu Nghia, pesilat berusia 35 tahun dari Terengganu itu mengakui perlu bersedia dengan lebih rapi.

"Ini adalah pertemuan kedua kami dan saya mahu menebus kekecewaan kerana kalah pada Quang di Sukan SEA Hanoi. Jadi untuk pertemuan akhir ini, saya mohon penyokong semua mendoakan kejayaan saya," katanya.

Pada aksi Kelas F Lelaki pula, Mohd Al Jufferi terpaksa mengerah sepenuh pengalaman dan kudrat untuk menafikan kemaraan lawannya dari Algeria Zetout Abdelmalek, dengan keputusan 48-17.

Juara dunia tiga kali itu bakal berentap dengan pesilat dari Indonesia Iqbal Chandra Pratama di pentas akhir, yang sebelum itu menutup peluang Vu Duc Hung dari Vietnam dengan keputusan 36-15.

Dalam pada itu impian kapten pasukan Malaysia Mohd Fauzi Khalid, untuk berentap di pentas akhir tidak kesampaian apabila tewas 86-93 kepada wakil Thailand Suthat Bunchit.

Beraksi dalam Kelas G Lelaki, Mohd Fauzi diberi tentangan sengit malah masing-masing silih mengejar kutipan mata hingga berlaku kekasaran yang membawa kepada bantahan, sebelum terpaksa akur dengan kemenangan Suthat.

Aksi final edisi kejuaraan ke-19 ini akan berlangsung malam esok, selepas mengharungi enam hari perlawanan yang bermula 26 Julai lepas, dengan penyertaan lebih 500 peserta dari 40 negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah.

-- BERNAMA

Berita Harian X