Rabu, 27 Julai 2022 | 10:14pm
Jaguh silat negara Mohd Al Jufferi Jamari (kiri) ketika beraksi menentang pesilat India Suraj Kumar pada perlawanan peringkat kelayakan kategori Tanding di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dekat Ayer Keroh hari ini. - BERNAMA
Jaguh silat negara Mohd Al Jufferi Jamari (kiri) ketika beraksi menentang pesilat India Suraj Kumar pada perlawanan peringkat kelayakan kategori Tanding di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dekat Ayer Keroh hari ini. - BERNAMA

Al-Jufferi bertarung dalam kesakitan

MELAKA: Masih dibelenggu kesakitan bahu bukan halangan bekas juara dunia tiga kali, Mohd Al-Jufferi Jamari menewaskan pesilat India, S Kumar pada pusingan kelayakan Kelas F Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, petang tadi.

Kemenangan dengan mata 41-16 dalam perlawanan di Arena 1 membolehkan atlet kelahiran Pahang itu mara ke pusingan seterusnya untuk menentang pesilat Filipina, Alvin T Campos esok.

Dalam aksi serentak di Arena 2, Campos mara untuk berdepan Mohd Al Jufferi selepas mudah mengetepikan saingan Rex Burema dari Belanda dengan kutipan mata 45-20.

Mohd Al-Jufferi berkata, kejayaan itu dibantu strategi diterapkan jurulatihnya iaitu bijak menilai bila untuk bertindak agresif serta bertahan dan tidak memandang mudah lawan baharu.

"Allah permudahkan segala teknik dan taktikal yang ingin dilakukan kerana (perlawanan) bukan mudah sebab saya mengalami kecederaan agak teruk pada bahu kanan di separuh akhir Sukan SEA Hanoi, Mei lalu yang kini baru pulih kira-kira 70 peratus.

"Bukan mudah melawan pesilat baharu kerana dia mengkaji kekuatan dan kekurangan kita. Maksudnya video perlawanan saya termasuk yang terkini banyak di YouTube untuk mereka tonton dan nilai," kata pemenang empat emas Sukan SEA itu kepada media selepas perlawanan.

Terdahulu, beberapa pesilat negara cemerlang dalam kategori solo kreatif lelaki dan wanita menerusi Lukman Laji, Mohd Shukrillah Badrilah dan Merrywati Manuil untuk ke pusingan seterusnya.

Lukman Laji menewaskan lawan dari Brunei, Muhd Ali Saifullah Abdullah Md Suhaimi dengan 9.940 mata manakala Mohd Shukrillah Badrilah mara ke separuh akhir selepas mengatasi Tran Duc Danh dari Vietnam dengan 9.895 mata. Merrywati Manuil pula menang ke atas pesilat Kazakhstan dengan 9.935 mata.

Bagaimanapun, regu wanita negara menggandingkan Merrywati, Fatin Ardani Zamri dan Siti Khairinnisa Hail terpaksa akur dengan kehebatan pasukan dari Indonesia apabila tewas tipis dengan 0.01 mata.

Pada aksi berkenaan, Indonesia yang dibarisi Envy Tri Susilowati, Riana Oktaviana dan Riva Hijriah mempamerkan persembahan mantap dengan mengutip 9.945 mata.

Berita Harian X