Rabu, 27 Julai 2022 | 9:28pm
Perenang negara, Ong Yong Qi menghadiahkan pingat emas dalam acara 200 meter kuak kupu kupu wanita pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.
Perenang negara, Ong Yong Qi menghadiahkan pingat emas dalam acara 200 meter kuak kupu kupu wanita pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.

AUG 2022: Yong Qi ubati kekecewaan rakan

UBON RATCHATHANI: Kem renang negara terus ceria selepas Ong Yong Qi menyumbangkan pingat emas kedua daripada sukan itu pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Thailand.

Pingat itu hadir dalam acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu sekali gus mengubati kedukaan perenang negara lain yang kecewa dalam tujuh lagi aksi final di Kampus Ban Yang Noi, petang tadi.

Pelajar Universiti Sunway itu merakam catatan 2:18:4 saat (s) untuk mengetepikan perenang dari Indonesia, Adinda Kirana yang memenangi perak sementara Subhaamorn Panthira dari Thailand meraih gangsa.

"Saya sangat gembira kerana dapat sumbangkan emas buat kontinjen negara hari ini, walaupun masa dalam aksi final tidak begitu baik, ia sudah cukup untuk saya meraih tempat pertama.

"Aksi di AUG ini adalah sebahagian persiapan saya untuk mewakili negara pada Sukan SEA Kemboja pada tahun hadapan," katanya.

Selain itu, kem renang turut menyumbang perak dan gangsa bagi acara 200m gaya bebas lelaki menerusi Welson Sim dan Terence Ng.

Bagi acara 200m kuak kupu-kupu lelaki pula, Low Zheng Yong meraih gangsa dengan catatan 2:02:60s selain perak dalam acara 4x100m wanita dan 4x100m lelaki.

Setakat hari ini, kem terjun berjaya menghadiahkan dua emas, lima perak dan dua gangsa buat kontinjen negara di AUG 2022.

Berita Harian X