Selasa, 26 Julai 2022 | 10:11pm
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam meletakkan Keris Mandat sebagai simbolik perasmian Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19, sambil diperhatikan Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), Datuk Seri Probowo Subianto (kiri) dan Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin. - Foto NSTP/Amir Mamat
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam meletakkan Keris Mandat sebagai simbolik perasmian Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19, sambil diperhatikan Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), Datuk Seri Probowo Subianto (kiri) dan Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin. - Foto NSTP/Amir Mamat

Kejuaraan Pencak Silat Dunia dibuka secara rasmi malam ini

AYER KEROH: Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung selama enam hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, membuka tirai secara rasminya, malam ini.

Perasmian kejuaraan kali ke-19 itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), Datuk Seri Probowo Subianto; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Penasihat Kehormat Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.

Kejuaraan Pencak Silat Dunia tahun ini menampilkan kira-kira 500 atlet dari 40 negara, antaranya India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Mesir, Amerika Syarikat, Belanda, United Kingdom, Indonesia serta Malaysia.

Kejuaraan turut menampilkan penganjuran Festival Silat Seni Antarabangsa seiring dengan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengiktiraf silat dalam senarai wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

Megat Zulkarnain dalam satu kenyataan sebelum ini, berkata selaku tuan rumah, Malaysia menyasarkan tujuh pingat emas pada kejohanan kali ini memandangkan edisi ke-19 ini menggunakan corak permainan yang lebih terbuka dan ekstrem.

"Saya lihat barisan pesilat yang akan bertanding pada kali ini dan semuanya terbaik dari seluruh dunia akan mengambil bahagian. Jadi kami mengambil keputusan untuk menyasarkan tujuh emas daripada 32 acara yang dipertandingkan.

"Saya merasakan peluang sama rata kepada semua negara yang mengambil bahagian. Bagi skuad negara, sesiapa sahaja mampu memenuhi sasaran tujuh pingat emas itu," katanya.

Berita Harian X