Sabtu, 23 Julai 2022 | 8:10pm
Megat (tengah) bersama pesilat yang akan bertarung di Kejohanan Dunia di Melaka.
Megat (tengah) bersama pesilat yang akan bertarung di Kejohanan Dunia di Melaka.

Amaran buat pendekar, srikandi negara

KUALA LUMPUR: Pasukan silat negara dinasihatkan tidak memperlekeh kekuatan peserta negara luar di Kejuaraan Silat Dunia 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), minggu depan.

Walaupun beraksi di laman sendiri, kemampuan lawan yang bertandang ke Melaka dibarisi nama besar selain buat kali pertamanya kejuaraan kali ini menggunakan peraturan baharu yang lebih terbuka.

Peraturan baharu ini dijangka bakal memberi peluang cerah buat peserta negara yang mempunyai kekuatan dan fizikal memburu kilauan pingat dalam kelas berat badan lebih tinggi untuk menyerlah.

"Mengambil kira kemungkinan yang ada, saya tidak memandang ringan kontinjen lain. Kita sudah dapat melihat nama-nama pesilat dari negara lain dan seperti dijangkakan semua negara menyertai, terutama negara yang menjadi pesaing kuat kepada sukan silat ini, menghantar pesilat terbaik yang mereka ada.

"Contohnya Indonesia, menghantar semua pemenang pingat emas Sukan Asia yang lalu, ada yang tidak mengambil bahagian di Sukan SEA Filipina 2019, ada yang tak mengambil bahagian di Sukan SEA Hanoi tetapi di kejuaraan kali ini, semuanya kembali beraksi di pentas dunia ini.

"Jadi kita tak boleh memandang ringan kesemua negara yang mengambil bahagian. Saya juga terkejut melihat antara negara yang mengesahkan penyertaan adalah Amerika Syarikat, menghantar satu jumlah yang ramai dan juga Kanada.

"Saya menjangkakan mereka banyak mengambil bahagian dalam kelas besar dan peraturan baharu ini mungkin sesuai dengan mereka," kata Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Sebanyak 40 negara menyertai edisi ke-19 ini antaranya India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan dan Mesir dengan pasukan negara menyasarkan kutipan tujuh pingat keseluruhan.

Kejuaraan Silat Dunia 2022 mempertandingkan 32 acara merangkumi 13 silat olahraga untuk kategori lelaki dan 11 kategori wanita.

Silat seni pula bakal menyaksikan lapan acara dipertandingkan, masing-masing empat untuk lelaki dan wanita.

"Kita merasakan peluang sama rata kepada semua negara yang mengambil bahagian dan saya menjanjikan kepada semua negara menyertai, yang kita tidak akan sama sekali menggunakan peluang sebagai tuan rumah untuk membuat sebarang keputusan yang boleh menimbulkan kontroversi," katanya.

Berita Harian X