Rabu, 20 Julai 2022 | 5:52pm
Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin (tengah) bersama pesilat negara melaungkan ‘Malaysia Boleh’ pada majlis sidang media penganjuran Kejohanan Pencak Silat Dunia 2022 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA.
Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin (tengah) bersama pesilat negara melaungkan ‘Malaysia Boleh’ pada majlis sidang media penganjuran Kejohanan Pencak Silat Dunia 2022 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA.

Malaysia sasar 7 emas Kejuaraan Silat Dunia di Melaka

KUALA LUMPUR: Pasukan silat negara disasarkan untuk meraih tujuh pingat emas pada Kejuaraan Silat Dunia 2022 yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka dari 26 hingga 31 Julai ini.

Sasaran itu diumumkan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang menyifatkan jumlah itu realistik memandangkan kejohanan edisi ke-19 ini menggunakan corak permainan yang lebih terbuka dan ekstrem.

"Saya sudah melihat barisan pesilat yang akan bertanding pada kali ini," kata Megat dalam sidang media Kejuaraan Silat Dunia 2022 di sini, hari ini.

"Nampaknya semua pesilat terbaik dari seluruh dunia akan mengambil bahagian. Jadi kami mengambil keputusan untuk menyasarkan tujuh emas daripada 32 acara yang dipertandingkan. Saya merasakan peluang sama rata kepada semua negara yang mengambil bahagian. Bagi skuad negara, sesiapa sahaja mampu memenuhi sasara tujuh pingat emas itu."

Sebanyak 40 negara dijadual mengambil bahagian pada edisi kali ini iaitu antaranya India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Mesir, Amerika Syarikat, Belanda, United Kingdom dan Jerman.

Malaysia akan diperkuatkan oleh juara dunia tiga kali, Al Jufferi Jamari yang berhasrat untuk menamatkan kariernya dengan gemilang sekali gus menjadikan kejohanan dunia ini sebagai pentas terakhir buatnya sebelum bersara.

"Ini juga adalah peluang terbaik untuk Malaysia mencipta kejayaan memandangkan a adalah satu kelebihan untuk beraksi di tanah air yang sudah pasti akan membakar semangat kem Malaysia," kata Megat.

Kejuaraan turut akan menampilkan penganjuran Festival Silat Seni Antarabangsa seiring dengan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengiktiraf silat dalam senarai wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

Berita Harian X