Isnin, 18 Julai 2022 | 1:53pm
Izzat (tengah) bersama Wan Rahman (kiri) dan Akmal Hakim menguasai podium acara kriterium JCM siri kedua di Kuala Lumpur semalam. Foto Instagram terengganupolygoncyclingteam
Izzat (tengah) bersama Wan Rahman (kiri) dan Akmal Hakim menguasai podium acara kriterium JCM siri kedua di Kuala Lumpur semalam. Foto Instagram terengganupolygoncyclingteam

Izzat kuasai JCM Siri 2, Wan Rahman Kriterium PJ

KUALA LUMPUR: Pelumba individu Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil membuktikan kehebatannya apabila menewaskan pelumba lebih berpengalaman selepas menjuarai perlumbaan siri kedua acara kriterium berbasikal Junior Cycling Malaysia (JCM) di Taman Pudu Ulu, di sini semalam.

Pelumba berusia 26 tahun itu, yang pernah mewakili Team Sapura Cycling (TSC) tiga tahun lalu, membalas dendam kekalahannya di tangan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Wan Abdul Rahman Hamdan pada perlumbaan Kriterium Petaling Jaya dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Izzat, yang menduduki tangga kelapan pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan di Manong, Perak bulan lalu, melintasi garisan penamat dengan masa 37 minit dua saat manakala Wan Rahman dan Akmal Hakim Zakaria dari TSC masing-masing di tangga kedua dan ketiga ketinggalan hanya satu saat di belakang.

Bagi kategori terbuka wanita, pelumba Selangor, Nurqadrina Emylia Norzali muncul juara dengan masa 27:11 diikuti dua pelumba Kedah, Syarifah Nur Aisyah Umairah Syed Yusof dan Phi Kun Pan.

Terdahulu pada perlumbaan Kriterium PJ yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-16 Bandaraya Petaling Jaya malam kelmarin, Wan Rahman memecut di saat-saat akhir untuk mengecewakan Izzat sebelum melintasi garisan penamat sebagai juara sekali gus menguasai kedua-dua kategori elit dan B-23 lelaki.

Pelumba TSC, Mohd Yusri Shaari terpaksa berpuas hati di tangga ketiga ketika mereka membuat 'breakaway' bagi meninggalkan kelompok besar untuk meluru ke garisan penamat.

Kategori terbuka wanita dimenangi pelumba kebangsaan yang mewakili Polis Diraja Malaysia, Jupha Somnet manakala bekas jaguh negara Anuar Manan yang mewakili Maran Cycling Club Team (MCCT) mengungguli kategori terbuka lelaki.

Berita Harian X