Jumaat, 24 Jun 2022 | 5:11pm
Aksi Aiman (kanan) ketika ujian masa individu Kejohanan Berbasikal Kebangsaan di Manong, Perak hari ini.
Aksi Aiman (kanan) ketika ujian masa individu Kejohanan Berbasikal Kebangsaan di Manong, Perak hari ini.

Aiman lakar kejuaraan hatrik

KUALA LUMPUR: Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Nur Aiman Rosli membuktikan dirinya berada pada kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan kejuaraan dalam acara ujian masa individu buat kali ketiga berturut-turut di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan yang berlangsung di Manong, Perak hari ini.

Pengurus pasukan, Sayuti Zahir percaya pencapaian yang dilakar Aiman itu akan menjadi motivasi buat dirinya dalam persiapan menghadapi Sukan SEA Kemboja, tahun depan.

"Alhamdulillah Aiman dapat kekalkan jersi juara ujian masa buat kali ketiga berturut-turut dan keempat buat TSC. Ia satu yang boleh dibanggakan dan penting untuk dia (Aiman) mendapat keyakinan dan menangi emas di Sukan SEA nanti.

"Rakan pasukan Adlan (Muhammad Shaiful Adlan Shukri) yang mendapat kedudukan kedua juga menunjukkan prestasi yang bagus.

"Kejayaan ini memberi impak yang positif kepada pasukan dan rakan sepasukan untuk kami teruskan perjuangan dalam acara lebuh raya dan kekalkan jersi juara kebangsaan yang dimenangi oleh Mohamad Saari Amri Abd Rasim esok," katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Dataran Amanjaya, Manong Perak itu membabitkan jarak laluan sejauh 36.8km menyaksikan Aiman mencatatkan masa 47 minit 33.144 saat (s) untuk bergelar juara menewaskan rakan pasukan Adlan di tempat kedua, 47:58.94s manakala pelumba Terengganu Polygon Cycling Team, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff di tempat ketiga, 48:33.258s.

Berita Harian X