Rabu, 22 Jun 2022 | 8:51pm
Pemain muda, Ammar Aiman Mohd Fauzi (empat dari kanan) meraikan kemenangan bersama pemain dan penganjur di Kelab Golf & Country Tasik Puteri.
Pemain muda, Ammar Aiman Mohd Fauzi (empat dari kanan) meraikan kemenangan bersama pemain dan penganjur di Kelab Golf & Country Tasik Puteri.

Ammar juara Jelajah Golf Remaja Kebangsaan Sportexcel UUMISM

KUALA LUMPUR: Pemain muda, Ammar Aiman Mohd Fauzi cemerlang apabila menjuarai pusingan ketiga Jelajah Golf Remaja Kebangsaan Sportexcel-University Utara Malaysia International Secondary School Melaka (UUMISM) di Kelab Golf & Country Tasik Puteri, dekat sini, baru-baru ini.

Beraksi dalam kategori utama 15 hingga 18 tahun, Ammar Aiman yang merekodkan 81 pukulan mengatasi pencabar terdekatnya, R Dhesigean yang mengakhiri saingan di kedudukan kedua dengan 83 pukulan manakala Muhammad Nastha Ilyashah Roslee ketiga dengan 85 pukulan.

Kejohanan kali ini mendapat sambutan luar biasa apabila disertai 169 peserta sekali gus menjadi rekod baharu kejohanan yang dianjurkan untuk pemain golf remaja.

Kejohanan tahunan yang membabitkan 12 pusingan itu menawarkan peluang kepada pemain muda mempamerkan bakat masing-masing dalam memburu biasiswa golf di UUMISM di Ayer Keroh, Melaka.

Matlamat utama penganjuran kejohanan berkenaan adalah untuk meningkatkan mutu permainan pemain remaja dan pemain terbaik akan dipilih untuk menyertai pertandingan di luar negara di bawah The Hills Golf Academy.

UUMISM yang sememangnya memainkan peranan besar untuk program pembangunan pemain golf remaja di negara ini berharap lebih banyak syarikat korporat tampil menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi di Malaysia.

Berita Harian X