Rabu, 22 Jun 2022 | 8:39pm
Azrul Shah (depan tengah) bersama penaja yang memberi sokongan bagi menjayakan Kejohanan Golf Tourism Selangor di Seri Selangor Golf Club pada 23 Julai ini.
Azrul Shah (depan tengah) bersama penaja yang memberi sokongan bagi menjayakan Kejohanan Golf Tourism Selangor di Seri Selangor Golf Club pada 23 Julai ini.

120 peserta sertai golf Tourism Selangor

KUALA LUMPUR: Seramai 120 peserta bakal mengambil bahagian dalam Kejohanan Golf Tourism Selangor edisi keempat di Seri Selangor Golf Club, Petaling Jaya, dekat sini, pada 23 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata kejohanan berkenaan berjaya menarik pemain industri pelancongan Selangor, pengurusan tertinggi dalam sektor swasta, pemain golf selebriti, ekspatriat, penaja kejohanan, peminat golf dan media serta pegawai daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, ia dianjurkan untuk meningkatkan hubungan pemain golf yang sedia ada atau berpotensi dalam suasana yang kompetitif lagi menyeronokkan selain bagi tujuan pelancongan.

"Kami mempunyai lapangan yang menggabungkan keindahan alam semulajadi dan juga cabaran ketika beraksi. Ia memang hari yang tepat untuk menyaksikan kejohanan golf yang menarik," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Azrul Shah berkata perjalanan Kejohanan golf Golf Tourism Selangor diinspirasikan di atas konsep 'Pusing Selangor Dulu', iaitu di mana penganjuran kejohanan diadakan di lokasi berbeza setiap tahun.

Katanya, tahun ini pihaknya memilih Seri Selangor Golf Club sebagai gelanggang rasmi bagi kejohanan edisi keempat berkenaan.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, kejohanan ini dianjurkan mengikut standard profesional. Selain memenangi beberapa kategori dalam kejohanan golf ini, pemain juga berpeluang meraih hadiah lumayan dalam sesi cabutan bertuah, manakala ganjaran bagi kategori selubang atau `hole-in-one' pula ialah PERODUA Ativa," katanya.

Berita Harian X