Isnin, 13 Jun 2022 | 8:22pm
Gambar fail - Perenang para kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Perenang para kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli. - Foto BERNAMA

Nur Syaiful rangkul gangsa renang para dunia

KUALA LUMPUR: Perenang kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli mengekalkan pingat gangsa acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal), pada Kejohanan Renang Para Dunia 2022 di Madeira, Portugal, semalam.

Atlet berusia 27 tahun yang mengulangi pencapaian edisi 2019 di London apabila mencatatkan 33.81 saat (s) dalam kejohanan berlangsung di Kompleks Renang Olimpik Penteada.

Perenang Itali Francesco Bocciardo, menampilkan kuakan bergaya apabila meraih emas dengan catatan masa 33.11s, manakala Samuel Da Silva De Oliveira dari Brazil pula membawa pulang pingat perak selepas merekodkan masa 33.28s.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Zy Kher Lee menamatkan saingan di tempat ketujuh bagi acara 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal).

Juara Sukan Para Remaja Asia 2021 di Bahrain itu melakukan catatan 2 minit 1.89s.

Kejohanan selama seminggu itu akan berakhir 18 Jun ini.

- BERNAMA

Berita Harian X