Ahad, 12 Jun 2022 | 5:57pm
Pengerusi TSM GC, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim (dua kanan), Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (dua kiri); Presiden Tan Sri Muhyiddin Charity Golf, Datuk Zainuddin Mohd Radzi (tiga kiri) dan Setiausaha Kehormat MGA, Datuk Zulkifli Ismail (kiri) bersama piala pusingan TSM Golf Challenge.
Pengerusi TSM GC, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim (dua kanan), Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (dua kiri); Presiden Tan Sri Muhyiddin Charity Golf, Datuk Zainuddin Mohd Radzi (tiga kiri) dan Setiausaha Kehormat MGA, Datuk Zulkifli Ismail (kiri) bersama piala pusingan TSM Golf Challenge.

88 pemain amatur muda berentap TSM Golf Challenge

KUALA LUMPUR: Seramai 88 pemain amatur muda berbakat negara termasuk 52 lelaki akan berentap bagi merebut kejuaraan TSM Golf Challenge (TSM GC) 2022 di West Course, TPC Kuala Lumpur di sini, pada 14 hingga16 Jun ini.

Kejuaraan yang diperakukan Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan mendapat pengiktirafan `World Amateur Golf Ranking (WAGR) itu sebelumnya dihentikan selama dua tahun susulan pandemik COVID-19.

Saingan kali ini dijangka sengit dengan penyertaan ramai pemain muda berbakat seperti Adam Ariff Madzri, Bryan Tan Wei Han, Malcom Ting Siong Hung, Eidan Ngah Jamzidi, Marcus Lim dan Muhamad Ikmal Basry.

Selain itu, Nateeshvar Anatha Ganesh, Rhaassrikanesh Kanavathi, Angel Hii, Foong Zi Yu, Liyana Azizan Durisic, Mirabel Ting Ern Hui, Winnie Ng, Lekisha Sasitharan dan Zulaikah Nurziana Nasser.

Pengerusi TSM GC, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim berkata pemain muda daripada Akademi Golf Tunas Bistari kelolaan pihaknya seperti Ezekiel Riz Hafi Suzearitz, Lee Juan Chay, Alya Batrisya Shaari dan Nur Batrisya Balkis akan turut serta menerusi `wild cards'.

Katanya, pemilihan pemain bagi kejohanan ini dibuat berdasarkan mata yang terkumpul pada kejohanan-kejohanan sebelumnya.

"Kejohanan yang bertujuan mengenalpasti bakat-bakat baru dari kalangan pemain amatur muda di bawah handicap 10. Pengiktirafan TSM Golf Challenge ke ranking amatur dunia juga menjadi satu titik tolak kepada pemain muda ini untuk mengumpul mata dan menajamkan kepakaran mereka sekali gus melayakkan diri ke Sukan Olimpik," katanya pada sidang media di sini.

Hadir sama Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor; Presiden Tan Sri Muhyiddin Charity Golf, Datuk Zainuddin Mohd Radzi dan Setiausaha Kehormat MGA, Datuk Zulkifli Ismail.

Pada 2019, kejohanan ini masing-masing dimenangi Rhaassrikanesh bagi kategori lelaki manakala Winnie Ng untuk wanita

Pemenang kejohanan ini akan menerima geran pembangunan golf bernilai RM130,000 bagi kedua-dua kategori iaitu lelaki dan wanita. Ia meliputi perbelanjaan untuk tempoh enam bulan hingga satu tahun padaa program latihan golf dan penyertaan dalam kejohanan berjadual di wilayah yang dikendalikan MGA.

TSM GC mula dianjurkan pada 2006 dan menjadi acara tahunan yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta MGA bagi mencungkil bakat muda baru.

Berita Harian X