Khamis, 2 Jun 2022 | 8:31pm
Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir melihat dokumen bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman, semalam. - Foto Ihsan Wan Sukairi Wan Abdullah
Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir melihat dokumen bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman, semalam. - Foto Ihsan Wan Sukairi Wan Abdullah

Siti Rahmah dapat `durian runtuh'

KUALA TERENGGANU: Srikandi silat negara Siti Rahmah Mohamed Nasir bersyukur selepas pengorbanannya dalam sukan tempur itu mendapat penghargaan daripada kerajaan negeri apabila dianugerahkan satu lot tanah semalam.

Siti Rahmah yang merangkul pingat perak pada temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam dalam kategori kelas F menjelaskan anugerah itu adalah hadiah paling bernilai dalam kariernya selepas berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.

Bekas juara dunia empat kali dan Olahragawati Kebangsaan 2016 kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, anugerah itu bukan saja bakal menambah lagi motivasinya tapi juga kepada pesilat pelapis untuk mengharumkan nama negeri dan negara dalam sukan itu suatu hari nanti.

"Ini adalah hadiah paling bermakna buat saya selepas 15 tahun bergelumang dalam sukan silat ini, dengan pelbagai kejayaan yang diraih sehingga ke peringkat dunia.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian tanah ini, terima kasih juga dihulurkan kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Persatuan Silat Negeri Terengganu (Pesaka) dan mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.

"Apa yang pasti hadiah yang bernilai tinggi ini bakal menjadi kenangan paling berharga atas pengorbanan saya selepas bersara nanti, buat atlet pelapis berjuanglah bersungguh-sungguh demi negeri dan negara," kata anak bekas legenda bola sepak Terengganu dan skuad kebangsaan Singapura, Allahyarham Mohamed Nasir Jalil itu ketika dihubungi.

Ketika ditanya fokusnya selepas ini, atlet berusia 35 tahun itu mahu memburu kejuaraan kelima dalam Kejohanan Silat Dunia yang bakal berlangsung di Melaka akhir bulan depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemberian tanah itu sebagai menghargai sumbangan besarnya yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan negeri prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan atlet negeri terutama mereka yang berjaya memperagakan aksi cemerlang di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

"Kerajaan negeri sudah memberikan satu lot tanah di Setiu kepada Siti Rahmah dalam satu majlis sambutan Aidilfitri di Wisma Darul Iman yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.

"Kita harapkan pemberian insentif itu mampu menyuntik lagi semangat bekas juara dunia itu dan juga atlet lain dalam mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa," kata Wan Sukairi.

Berita Harian X