Isnin, 30 Mei 2022 | 4:21pm

'Tak perlu tunggu sehingga dapat pingat emas'

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata persatuan sukan kebangsaan tidak seharusnya menunggu sehingga meraih pingat emas dalam mana-mana kejohanan untuk menerima bantuan daripada kementeriannya.

Katanya, apa yang lebih penting adalah membina ekosistem sukan itu sendiri selain mencipta serta menganjurkan lebih banyak kejohanan bagi membolehkan atlet mempunyai tempat untuk beraksi dan menimba pengalaman berharga.

"Tak perlu tunggu dapat pingat," katanya selepas majlis penghargaan Persatuan Golf Malaysia (MGA) kepada skuad negara yang meraih pingat emas pada Sukan SEA 2021 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya sesebuah persatuan sukan kebangsaan perlu mendapatkan pingat emas terlebih dulu dalam mana-mana kejohanan sebelum menerima bantuan atau sokongan daripada KBS.

"Namun perlu diingat saya belum sampai setahun menjadi menteri. Jadi tak adil untuk memberitahu saya tak membantu MGA. Saya akan cuba secara berterusan untuk meneruskan kerja saya.

"Ini adalah sebahagian apa yang saya lakukan. Saya tak akan membantu MGA saja kerana masih banyak lagi sukan lain yang boleh membawa pulang pingat dan membantukan industri sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada majlis penghargaan skuad golf negara yang memenangi pingat pada temasya Sukan SEA 2021 Hanoi di Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.

"Kita kena mencipta ekosistem dan menganjurkan lebih banyak kejohanan supaya atlet boleh bermain mencari pengalaman daripada sukan itu sendiri. Kalau mereka membawa pulang pingat emas dan seterusnya menjual tisu, pada akhirnya kamu akan menghentam saya semula.

"Jadi industri (penting), bukan mengenai pingat emas, bukan mengenai pembangunan atlet tetapi juga memastikan atlet kita boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia mereka."

Dalam sidang media yang sama, permintaan Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor untuk mendapat bantuan KBS, termakbul apabila Ahmad Faizal memberikan komitmennya untuk menyalurkan sokongan kewangan kepada persatuan berkenaan bagi mengekalkan prestasi pasukan kebangsaan.

"Saya bekerja rapat dengan presiden MGA mengenai bagaimana kementerian boleh membantu persatuan dan kita juga bercakap mengenai penganjuran sirkit golf di seluruh negeri. Ini penting untuk pembangunan sukan itu sendiri.

"Akan ada peruntukan KBS kepada MGA tetapi jumlahnya, saya tak boleh maklumkan pada hari ini," kata Ahmad Faizal.

Pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, skuad golf negara meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa sekali gus menamatkan penantian 21 tahun tanpa emas dalam sukan berkenaan di temasya dwitahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) diiringi Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Anwar Mohd Nor (empat dari kanan) bergambar bersama skuad golf negara yang memenangi pingat ketika majlis penghargaan Sukan SEA Hanoi 2021 di Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur. - Foto Hairul Anuar Rahim

Berita Harian X