Khamis, 26 Mei 2022 | 10:36pm
Aksi pemain Malaysia (jersi kuning) ketika menentang Bangladesh pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta petang tadi.
Aksi pemain Malaysia (jersi kuning) ketika menentang Bangladesh pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta petang tadi.

Malaysia layak ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan mengesahkan tiket beraksi di Piala Dunia 2023 selepas India selaku tuan rumah kejohanan berprestij itu mara ke saingan Super 4 Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia.

India mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik di Jakarta selepas membelasah Indonesia 16-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan India muncul naib juara kumpulan di belakang Jepun.

Terdahulu, skuad negara bimbingan Arul Selvaraj mara ke saingan Super 4 selaku juara Kumpulan B selepas menang semua tiga perlawanan termasuk menewaskan Bangladesh 8-1 petang tadi.

Selain Malaysia, turut layak ke Piala Dunia tahun depan adalah Jepun dan Korea Selatan.

Tiga daripada empat pasukan yang layak beraksi di Super 4 secara automatik layak ke Piala Dunia selepas India meraih tiket selaku tuan rumah.

Saingan Super 4 akan menyaksikan aksi liga sepusingan dengan dua pasukan teratas layak beraksi di pentas final.

Sebagai rekod, sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1982, Malaysia belum pernah muncul juara dengan pencapaian terbaik adalah naib juara pada 2017 yang juga edisi terakhir kejohanan itu apabila tewas 1-2 kepada India di Dhaka, Bangladesh.

Malaysian Tigers akan membuat penampilan kali kesembilan di Piala Dunia.

Berita Harian X