Selasa, 24 Mei 2022 | 4:00pm
Mohamad Nur Aiman Zariff (tengah) meraikan kejayaan memenangi emas acara individu lebuh raya Sukan SEA 2021 bersama rakan sepasukan di Vietnam, baru-baru ini. - Foto ihsan Fiz Said.
Mohamad Nur Aiman Zariff (tengah) meraikan kejayaan memenangi emas acara individu lebuh raya Sukan SEA 2021 bersama rakan sepasukan di Vietnam, baru-baru ini. - Foto ihsan Fiz Said.

Joo Ngan dedah kejayaan skuad berbasikal negara di Hanoi

HANOI: Ketua jurulatih berbasikal lebuh raya, Datuk Ng Joo Ngan mendedahkan persefahaman yang terbina antara pelumba dan pegawai skuad negara menjadi kunci utama terhadap kejayaan yang dilakar skuad negara di Sukan SEA 2021.

Legenda berbasikal negara itu itu turut mendedahkan punca utama skuad negara gagal beraksi pada tahap prestasi terbaik di Sukan SEA Manila pada 2019 adalah disebabkan perselisihan faham dan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli pasukan.

Joo Ngan yang juga tokoh disegani dalam sukan berbasikal di Malaysia, berkata dia gembira dapat membantu semua pihak mencapai kesepakatan pada temasya di sini.

Skuad negara terlepas pingat dalam acara kriterium lelaki di Vietnam tetapi kembali bangkit untuk memenangi perlumbaan lebuh raya individu lelaki menerusi Mohamad Nur Aiman Zariff selain gangsa bagi acara ujian masa individu yang dimenangi Nur Aiman Rosli.

Pelumba wanita negara turut menghasilkan keputusan positif apabila meraih dua perak menerusi acara lebuh raya individu lebuh raya (Nur Aisyah Mohamad Zubir) dan berpasukan (Aisyah Zubir, Siti Nur Adibah Akma, Nur Aisyah Munirah Chek Ramli and Ju Pha Som Net).

Aisyah Zubir turut meraih gangsa dalam acara kriterium wanita.

"Seperti yang semua tahu, pasukan tidak berjaya memenangi sebarang pingat (daripada lebuh raya) di Sukan SEA terakhir (2019).

"PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) meminta saya menjadi jurulatih pasukan kali ini tetapi pada mulanya saya tidak begitu berminat untuk menggalas tugas itu.

"Tetapi kemudian presiden (PKBM) menghubungi saya dan bertanya sama ada saya boleh membantu membimbing pasukan dan membawa pulang pingat emas dari Vietnam.

"Saya kemudian bercakap dengan pengurus pasukan kebangsaan (2019) dan juga wakil dari Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling. Saya bertanya kepada mereka apa yang berlaku semasa Manila 2019.

"Mereka menceritakan kisah yang sama (mengenai isu yang mereka hadapi di Manila) dan selepas berbincang dengan mereka (TSG dan Sapura) mereka mahu saya membantu. Jadi saya menerima tawaran itu.

"Saya sangat gembira kerana kali ini seluruh pasukan bersatu dan semua ahli pasukan dari pegawai hingga pelumba semuanya sangat rapat. Semua orang seperti adik beradik dan kerana itu kami dapat memperoleh keputusan yang baik di Sukan SEA 2021.

"Sudah tentu, saya sangat gembira kerana kami dapat membawa pulang satu emas, dua perak dan dua gangsa daripada acara jalan raya," kata Joo Ngan.

Ketika ditanya adakah dia akan kekal membimbing pasukan bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung dalam tempoh 12 bulan lagi, Joo Ngan berkata ia masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara berkenaan.

Pelumba negara turut beraksi cemerlang dalam acara berbasikal bukit di sini.

Kuartet dibarisi Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon mencipta sejarah apabila mengungguli saingan dalam acara rentas desa campuran.

Ia adalah kali pertama Malaysia meraih emas daripada sukan berbasikal bukit di Sukan SEA.

Sebelum itu, Malaysia meraih perak dan gangsa dalam acara rentas desa individu wanita menerusi Nur Assyira dan Natahsya.

Berita Harian X