Isnin, 23 Mei 2022 | 5:45pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) pada sidang media mengenai pencapaian kontinjen negara pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) pada sidang media mengenai pencapaian kontinjen negara pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, hari ini. - Foto BERNAMA

Menteri arah MSN lakukan penilaian semula secara menyeluruh

HANOI: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah selesa dengan pencapaian kontinjen negara yang berjaya mencapai sasaran 36 pingat emas pada temasya Sukan SEA 2021 yang berakhir di sini, hari ini.

Menurutnya, Malaysia harus pantas membuat persiapan bagi menghadapi edisi seterusnya di Kemboja yang dijadual berlangsung pada Mei tahun depan dengan menitikberatkan pembabitan atlet muda dalam temasya dwi tahunan berkenaan.

Ini memandangkan 81 daripada 119 atlet muda di sini mampu menjelmakan sembilan emas, 17 perak dan 34 gangsa pada temasya yang disifatkan sebagai sukan persahabatan ataupun sukan pembangunan itu.

Malah 142 daripada 367 atlet yang membuat penampilan kali pertama juga mampu menyumbangkan 15 emas, 21 perak dan 44 gangsa manakala 114 daripada 225 atlet wanita menjelmakan 14 emas, 16 perak dan 34 gangsa.

Justeru itu, Ahmad Faizal meminta supaya Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan untuk menilai semula pembabitan atlet senior dan atlet yang gagal menghasilkan keputusan memuaskan pada edisi kali ini walaupun ia sukar untuk 'ditelan'.

"Pada masa sama, saya mahukan MSN dan persatuan sukan kebangsaan untuk menilai semula pembabitan atlet senior dan atlet yang gagal menghasilkan keputusan memuaskan pada kali ini.

"Jika kita perlu membuat keputusan sukar menggugurkan mereka, itulah yang terpaksa kita lakukan kerana apa yang wajar dilakukan selepas ini ialah menyalurkan peruntukan berdasarkan kepada merit pencapaian, bukan lagi berdasarkan kepada reputasi silam yang tidak lagi menjadi gambaran kekuatan terkini sesuatu sukan.

"Saya juga mengarahkan MSN untuk melakukan penilaian semula secara menyeluruh termasuk mengkaji semula senarai sukan teras yang mahu terus diperkasakan demi memastikan Jalur Gemilang megah berkibar di pentas Sukan SEA, Asia, Komawnel dan Olimpik," kata Ahmad Faizal ketika merumuskan pencapaian kontinjen negara pada Sukan SEA 2021 yang berakhir hari ini.

Kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan di sini dengan meraih sebanyak 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa untuk berada di tangga keenam daripada 11 negara yang bertanding.

Vietnam muncul juara keseluruhan dengan 205 emas, 125 perak dan 116 gangsa manakala Thailand meraih 92 emas, 103 perak dan 136 gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan. Indonesia berada di tangga ketiga dengan mengumpul 69 emas, 91 perak dan 81 gangsa manakala Filipina di tangga keempat dengan kutipan 52 emas, 70 perak dan 104 gangsa.

Singapura yang dibarisi 476 atlet untuk menyertai 33 jenis sukan berjaya mendominasi sukan dipertandingkan di Olimpik iaitu renang, dengan berada di tangga kelima hasil himpunan 47 emas, 46 perak dan 73 gangsa.

Berita Harian X