Ahad, 22 Mei 2022 | 4:37pm
Pelumba negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff meraikan kejayaan memenangi acara individu lepas beramai-ramai lebuh raya di Wilayah Hoa Binh, Vietnam, semalam. - Foto REUTERS.
Pelumba negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff meraikan kejayaan memenangi acara individu lepas beramai-ramai lebuh raya di Wilayah Hoa Binh, Vietnam, semalam. - Foto REUTERS.

Emas Sukan SEA lebih bermakna - Aiman

HANOI: Emas Sukan SEA lebih bermakna daripada jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL). Itulah kenyataan atlet berbasikal lebuh raya negara, Nur Aiman Zariff selepas mencipta sensasi di bumi Vietnam semalam.

Menurut pelumba berusia 25 tahun itu, memang kedua-dua kejayaan itu sangat bermakna dalam kariernya namun Sukan SEA mempunyai kemanisan yang tersendiri.

"Sukan SEA lebih bermakna kerana ia adalah temasya kita menang ketika memakai jersi negara dan bertanding di atas nama Malaysia," katanya yang dinobatkan sebagai Raja Bukit di LTdL 2020.

Pelumba yang beraksi dengan Terengganu Polygon Cycling (TSG) itu menghadiahkan emas ke-37 negara semalam selepas menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam acara lebuh raya lepas beramai-ramai individu lelaki di Hoa Binh.

Dia mencatat masa tiga jam, 48 minit dan 22 saat dalam saingan sejauh 162.2 kilometer untuk mengetepikan Aiman Cahyadi (perak) dari Indonesia dan pelumba Thailand, Navuti Liphongyu (gangsa).

"Saya rasa bangga dengan kejayaan ini kerana kali pertama menyertai Sukan SEA dalam acara lebuh raya, 2017 di Kuala Lumpur saya hanya beraksi dalam acara trek," katanya yang sudah beraksi lapan perlumbaan antarabangsa setakat ini termasuk Tour Saudi, Tour Rwanda dan Jelajah Thailand.

Selain Aiman turut beraksi dan membantunya semalam ialah Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Nur Aiman Rosli, Akmal Hakim Zakaria dan Zawawi Azman semasa perlumbaan.

Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara lebuh raya lelaki ialah di Sukan SEA Singapura 2015 melalui jaguh pecut, Harrif Saleh yang juga rakan sepasukan Aiman dalam pasukan TSG.

Berita Harian X