Ahad, 22 Mei 2022 | 3:48pm
Nur Aisyah Zubir berjaya meraih pingat Perak dalam acara individu wanita. - Foto Facebook ArenaMalaysia Asia
Nur Aisyah Zubir berjaya meraih pingat Perak dalam acara individu wanita. - Foto Facebook ArenaMalaysia Asia

Skuad berbasikal wanita negara raih dua perak

HANOI: Skuad berbasikal negara menutup kempen Sukan SEA 2021 di sini, hari ini dengan dua lagi pingat perak menerusi acara individu wanita dan lebuh raya berpasukan.

Nur Aisyah Zubir terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Vietnam, Nguyen Thi That yang melakukan catatan 2 jam, 13 minit dan 15 saat (88.5 kilometer) untuk merangkul emas.

Delia Ayustina Priatna memenangi gangsa untuk Indonesia.

Malaysia turut merangkul perak dalam kategori berpasukan dengan kombinasi masa 6:42:15s.

Pelumba lain dalam acara itu adalah Siti Nur Adibah Akma, Nur Aisyah Munirah Chek Ramli dan Ju Pha Som Net. Catatan Adibah (+1:13s) dan Aisyah Munirah (+1:17s) meletakkan mereka di tangga keenam dan kelapan dalam acara individu.

Ju Pha bagaimanapun mengalami kemalangan di penghujung perlumbaan.

Tuan rumah, Vietnam merangkul emas dengan catatan 6:42:11s manakala Thailand merangkul gangsa selepas mencatat 6:43:48s.

Pengurus skuad berbasikal negara, Firdaus Arshad berpuas hati dengan pingat perak yang dimenangi Aisyah, namun mereka seharusnya boleh mencabar untuk pingat emas sekiranya Ju Pha tidak berdepan kemalangan.

"Kami bersyukur dengan dua lagi perak yang dimenangi pada hari terakhir pertandingan," kata Firdaus.

"Hebat untuk melihat Aisyah menamatkan perlumbaan dengan baik dan memenangi perak. Tetapi kami sedikit kecewa kerana gagal memenangi pingat emas dalam acara berpasukan kerana kami berpeluang sehinggalah Ju Pha kemalangan.

"Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan persembahan pasukan berbasikal lebuh raya dan juga mountain bike."

Pada temasya kali ini, Malaysia membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa menerusi acara mountain bike serta satu emas, dua perak dan dua gangsa dari berbasikal lebuh raya.

Ikuti liputan Sukan Sea ke-31 2021 di laman

https://www.bharian.com.my/sukansea2021/index.html

Berita Harian X