Isnin, 16 Mei 2022 | 7:17pm
Pemain golf negara, Ervin Chang meraikan kejayaan memenangi emas bagi acara individu lelaki pada temasya Sukan SEA 2021 di Heron Lake Golf Course and Resort, Hanoi semalam.
Pemain golf negara, Ervin Chang meraikan kejayaan memenangi emas bagi acara individu lelaki pada temasya Sukan SEA 2021 di Heron Lake Golf Course and Resort, Hanoi semalam.

Kejayaan Ervin bakar semangat pemain golf muda negara

HANOI: Emas yang diraih pemain golf negara, Ervin Chang pada temasya Sukan SEA 2021 di sini, semalam dianggap penting bagi menarik minat lebih ramai lagi pemain muda menceburi sukan berkenaan.

Semalam Ervin berjaya menamatkan kemarau 21 tahun negara apabila meraih emas individu lelaki di lapangan Heron Lake Golf Course and Resort di sini, selepas mengumpul keseluruhan tujuh di bawah par 209.

Setiausaha Kehormat Persatuan Golf Malaysia (MGA), Datuk Zulkifli Ismail berkata kejayaan

itu sedikit sebanyak memberi semangat kepada pemain-pemain golf muda negara untuk

menempah nama di temasya sukan dwitahuan berkenaan.

"Walaupun Ervin turun selaku atlet kategori B, dia membuktikan pengalamannya beraksi di pentas antarabangsa membuahkan hasil untuk menyumbang pingat emas buat Malaysia.

"Kejayaan ini penting untuk membantu menarik minat pemain-pemain baharu dalam

sukan golf dan sekali gus dapat meningkatkan semangat pemain-pemain muda yang berada di Malaysia.

"Saya gembira kerana pada saingan di Vietnam kita menghantar atlet muda sebagai

pendedahan. Saya benar-benar teruja apabila Ervin mempamerkan aksi cukup tenang untuk

muncul juara di sini.

"Tetapi perkara paling penting ialah atlet muda seperti ini perlukan pendedahan di antarabangsa dalam membantu mendapatkan permainan cukup matang. Apapun, kita berharap kejayaan Ervin ini kita mampu melakukan persiapan cukup rapi menjelang temasya Sukan SEA Kemboja 2023 nanti," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut tidak menolak sebarang kemungkinan Ervin akan beralih ke bidang profesional selepas meraih kemenangan di sini.

Pada saingan itu, Ervin melakukan penamat sempurna untuk membutirkan emas apabila tampil cemerlang dalam pertarungan playoff tiga lubang menentang pemain Indonesia, Amadeus Christian Susanto.

Dia muncul atlet Malaysia pertama menjadi juara selepas kuartet lelaki, Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin meraih emas berpasukan lelaki di Sukan

Sea Kuala Lumpur 2001.

Aksi individu wanita juga memberikan khabar gembira apabila Jeneath Wong meraih

gangsa.

Jeneath mencatatkan 69 pukulan untuk menutup aksi tiga hari dengan keseluruhan par 211,

ketinggalan sembilan pukulan di belakang pemenang, Natthakritta Vongtaveelap dari Thailand.

Berita Harian X