Isnin, 16 Mei 2022 | 12:25pm
Ervin Chang menggondol pingat emas di Sukan SEA 2021 di Hanoi semalam.
Ervin Chang menggondol pingat emas di Sukan SEA 2021 di Hanoi semalam.

Kejayaan Ervin di Hanoi beri isyarat positif

KUALA LUMPUR: Kejayaan atlet golf negara, Ervin Chang menggondol pingat emas di Sukan SEA 2021 di Hanoi semalam menjadi satu isyarat positif betapa sukan terbabit mampu berkembang dan memiliki potensi tinggi khususnya dalam generasi muda.

Justeru, Presiden Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim mengharapkan semua kelab golf dapat meneruskan kesinambungan dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain muda seperti Ervin selepas ini.

Katanya, golf harus dilihat melalui perspektif sukan dan bukannya secara eksklusif selain menjadi satu budaya sukan untuk semua peringkat.

Presiden Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
Presiden Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

"Selaku Presiden MGJA, saya juga pernah menekankan objektif kami seperti mempromosikan sukan golf kepada anak muda dan mencungkil serta mengasah bakat mereka hingga ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama latihan dengan institusi pengajian awam serta swasta.

"Selain menjadi pembakar semangat kepada semua pemain golf, kelab golf juga seharusnya beriltizam dan saling melengkapi antara satu sama lain terutamanya dalam pengurusan dan kemudahan yang terbaik kepada mereka.

"Bakat seharusnya dicungkil, diasah dan digilap dengan minat serta kerjasama daripada kelab golf, ia mampu membawa seorang pemain golf itu dari peringkat amatur sehinggalah profesional.

"Sudah tiba masanya, sukan golf ini menjadi lebih inklusif agar minat serta pendedahan kepada rakyat dapat didekatkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod, Ervin menamatkan penantian selama 21 tahun Malaysia apabila memenangi pingat emas golf di pada temasya Sukan SEA 2021 apabila mengatasi pemain Indonesia, Amadeus Christian Susanto dalam aksi playoff tiga lubang.

Ervin tenang melakukan birdie di lubang tambahan ketiga di Heron Lake Golf Course and Resort untuk menjadi pemain Malaysia pertama muncul juara sejak pasukan lelaki dibarisi Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin memenanginya dalam acara berpasukan pada 2001 di Kuala Lumpur.

Ervin sebelum itu bangkit daripada ketinggalan dua pukulan pada permulaan saingan dengan merakamkan empat di bawah par 68 bagi menamatkan saingan tujuh di bawah par 209 dengan Amadeus menyamakan kedudukan bagi mengheret aksi ke playoff.

Berita Harian X