Ahad, 15 Mei 2022 | 11:15pm
Pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari (kiri) menentang pesilat Singapura dalam kategori 70kg-75kg kelas F pada Sukan SEA 2021 di Gimnasium Bac Tu Liem, Hanoi, hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.
Pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari (kiri) menentang pesilat Singapura dalam kategori 70kg-75kg kelas F pada Sukan SEA 2021 di Gimnasium Bac Tu Liem, Hanoi, hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.

Dua pesilat wanita penyelamat suasana suram kem negara

HANOI: Dua pesilat wanita muncul penyelamat suasana suram skuad silat tanding negara apabila mara ke peringkat akhir acara masing-masing pada Sukan SEA ke-31 di sini, hari ini.

Membariskan tujuh wakil dalam pertarungan saingan separuh akhir di Gimnasium Bac Tu Liem, semua lima pesilat lelaki negara termasuk juara dunia tiga kali Mohd Al-Jufferi Jamari terpaksa akur di tangan lawan masing-masing.

Ketika skuad negara cemas selepas satu persatu pesilat lelaki terkandas di peringkat separuh akhir, srikandi silat negara Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Siti Shazwana Ajak berjaya mengesahkan tempat di pentas final.

Siti Rahmah yang juga juara dunia empat kali, mara ke peringkat akhir selepas menumpaskan pencabarnya dari Singapura, Siti Khadijah Mohamad dalam kategori 70-75kg dengan keputusan 70-46.

Sementara, Siti Shazwana mengesahkan slot ke final apabila mengatasi lawannya Janejira Wankrue dari Thailand 56-37 dalam kelas 65-70kg.

Terdahulu, hasrat Mohd Al-Jufferi untuk melangkah ke saingan akhir kelas F (70-75kg) musnah apabila tumpas kepada pesilat Singapura Abdul Raazaq Abdul Rashid.

Bertarung dalam keadaan masih mengalami kecederaan di bahagian bahu ketika aksi suku akhir dua hari lalu, jaguh silat negara itu tumpas 21-26.

Turut gagal meloloskan diri ke peringkat akhir ialah Muhammad Robial Sobri yang tewas kepada atlet Singapura, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin 11-13 dalam kelas J (90-95kg) dan Mohd Fauzi Khalid dalam kelas G (75-80kg) yang kalah 24-37 kepada Nguyen Tan Sang dari Vietnam.

Cabaran Mohammad Amiruddin Adzmi juga terhenti di separuh akhir apabila terpaksa akur di tangan peserta tuan rumah Nguyen Duy Tuyen 6-21 manakala Ahmad Atif Irshad Zahidi yang mengalami kecederaan ketika aksi suku akhir dua hari lalu, dan dijadual berdepan Adilan Chemaeng dari Thailand hari ini terpaksa menarik diri.

Selain Siti Rahmah dan Siti Shazwana, harapan Malaysia juga terletak di bahu Muhammad Khairi Adib Azhar dalam kelas B Lelaki (50-55 kg) dan Billage Nakang (Bebas Lelaki), yang sebelum ini mara ke final untuk menyumbangkan pingat emas, esok.

- BERNAMA

Berita Harian X