Ahad, 15 Mei 2022 | 3:40pm
Jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari kelihatan menahan kesakitan di bahu ketika beraksi pada temasya Sukan SEA 2021 di Gimnasium Bac Tu Liem. Hanoi. - Foto BERNAMA.
Jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari kelihatan menahan kesakitan di bahu ketika beraksi pada temasya Sukan SEA 2021 di Gimnasium Bac Tu Liem. Hanoi. - Foto BERNAMA.

Impian Al-Jufferi ke final tak kesampaian

HANOI: Hasrat jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jumari untuk mara ke final kelas F saingan Sukan SEA tidak kesampaian selepas tewas dalam saingan separuh akhir kepada wakil Singapura, Abdul Raazaq Abdul Rashid 21-26 di Gimnasium Bac Tu Liem, di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, dia yang bertanding dalam saingan 70-75 kilogram (kg) itu mengakui tidak kisah dengan apa keputusan diraih pada temasya kali ini berikutan pelbagai kesukaran dihadapinya.

"Saya tak kisah apa jenis keputusan sekali pun, Allah punya keputusan lebih baik. Tempat saya ini susah kerana banyak benda masalah yang banyak orang tak tahu.

"Saya dah berjanji, jika saya mengalami kecederaan berat seperti lutut mahupun bahu, saya akan berhenti. Mungkin kali ini Allah makbulkan doa saya dan itulah dia," kata bekas juara dunia itu.

Dia yang kali terakhir meraih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur Kelas E (65-70kg) mengakui perlu lebih kuat berikutan masalah kesihatan dihadapi anaknya.

"Saya kuat pun sebab anak, kalau saya sakit bahu anak saya lagi kuat kerana dia sakit kanser kerana dia budak lagi. Ketika ini dalam fikiran saya adalah anak saja. Dia sakit, dalam umur 3 tahun sudah kena kanser. Setiap kali saya ke hospital dia lemah dan letih. Setiap kali saya nangis, dia usap. Dia (Haq) cakap ayah jangan menangis Haq okey.

"Bila saya kena kecederaan bahu macam ini takkan saya tak kuat. Jadi sebab tu saya teruskan berlawan dan tidak fikir lain iaitu anak saya.

"Saya telah berbincang dengan doktor di sini untuk terus melakukan pemeriksaan pada bahagian bahu saya. Kalau agak kritikal saya akan bincang dengan Datuk Megat Omardin (Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia), kalau okay saya akan teruskan.

"Kalau tak okay saya akan berhenti dengan cara baik," katanya yang mengalami kecederaan bahu ketika aksi suku akhir kelmarin.

Turut gagal ke final hari ini adalah Fauzi Khalid dalam kelas G (75-80kg) selepas tumpas 24-37 kepada Nguyen Tan Sang dari Vietnam.

Berita Harian X