Jumaat, 13 Mei 2022 | 6:52pm
Gambar fail - Jaguh renang negara, Welson Sim. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Jaguh renang negara, Welson Sim. - Foto BERNAMA.

Skuad renang negara azam beri persembahan terbaik

HANOI: Walaupun tidak diletakkan harapan tinggi, skuad renang negara berazam memberikan persembahan terbaik temasya Sukan SEA 2021 di sini, apabila acara itu bermula di Pusat Akuatik My Dinh, esok

Menurut pengurus pasukan, Tan Chin Chin, perenang negara yang membabitkan 14 atlet sudah tiba di sini sejak Rabu lalu untuk menyambung latihan dan mencuba kolam renang di gelanggang pertandingan.

"Mereka semua berada dalam keadaan baik dan masih meneruskan latihan seperti biasa termasuk semalam serta hari ini. Cuma bezanya kami hanya berlatih di sebelah pagi semalam kerana kolam renang ditutup disebabkan upacara perasmian. Hari ini kami berlatih pagi dan petang serta bertekad untuk cuba yang terbaik apabila acara ini berlangsung esok," katanya.

Sementara itu, jaguh renang negara, Welson Sim bertekad untuk merampas semula emas dalam acara 200 meter (m) gaya bebas selepas ia terlepas di tangan perenang Singapura, Darren Chua di Manila pada 2019.

"Saya harap mampu merampas semula emas 200m gaya bebas dan dapat memecahkan kebuntuan, seterusnya meraih pingat pertama 100m gaya bebas," katanya dalam portal yang berpangkalan di Britain, Tatler.

Dalam acara renang pada edisi 2019, skuad negara meraih dua emas, dua perak dan tiga gangsa sekali gus menutup kempen berkenaan di tangga ketiga keseluruhan.

Di Singapura, Malaysia meraih 23 emas, 10 perak dan empat gangsa untuk muncul juara keseluruhan manakala Vietnam berada di tangga kedua, 10 emas, enam perak dan sembilan gangsa.

Selain Welson Malaysia mempertaruhkan, Khiew Hoe Yean, Jayden Tan, Job Tan, Ananda Lim, Hii Puong Wei, Arvin Shaun Singh Chalal, Ng Jing Fu, Sebastian Soon, Lau Zheng Yong, Bryan Leong (lelaki), Phee Jinq En, Alicia Li Ann Soosai dan Goh Chia Tong (wanita).

Berita Harian X